AMERIKA Syarikat (AS) berharap program pemberian vaksin Covid-19 dapat dimulakan hujung tahun ini, dengan mensasarkan 20 juta penduduk, kata pegawai kesihatan semalam.
Ia diharap menjadi titik peralihan penting dalam usaha melawan pandemik Covid-19 di negara itu, yang sehingga kini telah meragut lebih 255,000 nyawa. AS merekod angka kematian tertinggi di dunia sejak virus maut yang mula dikesan di China pada Disember tahun lalu.
“Perancangan kami adalah untuk mengedarkan vaksin ke tempat imunisasi dalam tempoh 24 jam selepas mendapat kelulusan dari Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS,” kata ketua pelan vaksin Covid-19, Moncef Slaoui, kepada CNN.
Slaoui berkata program vaksinasi mungkin akan dimulakan pada 11 atau 12 Disember. Beliau menjangkakan seramai 30 juta penduduk akan diberi vaksin Covid-19 setiap bulan mulai Januari depan.
Bagaimanapun, pakar penyakit berjangkit AS Anthony Fauci menjangkakan sekitar 20 juta orang akan diberi vaksin pada pertengahan hingga akhir Disember ini.
Beliau turut memberi amaran situasi akan menjadi lebih buruk jiak orang ramai tidak mengambil langkah berjaga-jaga semasa musim cuti hujung tahun ini.
“Kita dalam situasi yang sangat sukar ketika ini,” katanya kepada CNN dalam program “Face the Nation”.
Tambah Fauci, memandangkan orang ramai akan bercuti panjang sempena Hari Kesyukuran (Thanksgiving), beliau bimbang kes Covid-19 akan melonjak semula.
“Kita bimbang kes akan melonjak kerana cuaca semakin sejuk pada Disember, kemudian kita akan bercuti sempena Krismas pula.”
Penasihat FDA akan bertemu pada 10 Disember bagi membincangkan permohonan kelulusan vaksin yang dibangunkan firma farmasuetikal Pfizer and Moderna, yang didakwa berkesan sekurang-kurangnya 95%.
Slaoui berkata AS akan mencapai imuniti kelompok (herd immunity) apabila 70% penduduk negara itu menerima suntikan vaksin Covid-19 menjelang Mei tahun depan.
Imuniti kelompok bermaksud virus tidak lagi dapat merebak secara meluas dan orang ramai boleh menjalani kehidupan seperti biasa.
Fauci bagaimanapun berkata imuniti kelompok dapat dicapai hanya jika sejumlah besar orang diberi vaksin yang sangat berkesan. – AFP, 23 November, 2020.
Komen