40% bahagian pembinaan RTS diperuntuk kepada Bumiputera 


Majlis pecah tanah secara maya bagi cadangan membina Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Chagar, di Johor Bahru hari ini. – Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, 22 November, 2020.

KIRA-kira 40 peratus daripada bahagian pembinaan infrastruktur bagi projek rangkaian Sistem Transit Rapid (RTS) yang bernilai RM2 bilion akan diperuntukkan kepada kontraktor Bumiputera, menurut Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd (MRT Corp).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Zarif Hashim berkata kerja-kerja itu akan diberikan kepada kontraktor Bumiputera gred satu hingga enam yang mana perincian mengenai pakej kerja itu akan diumumkan kelak oleh kerajaan negeri pada minggu depan.

Beliau berkata RM2 bilion daripada RM3.7 bilion kos projek RTS bagi bahagian Malaysia, adalah untuk pembinaan.

“Oleh itu, 40 peratus daripada kerja-kerja pembinaan (untuk Bumiputera) bernilai RM800 juta,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pecah tanah secara maya bagi cadangan membina Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Chagar, di Johor Bahru hari ini.

Pelancaran secara maya itu disempurnakan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim. 

Turut hadir Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong, Menteri Besar Johor Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Azmi Rohani.

Kerja-kerja pembinaan itu adalah termasuk stesen Bukit Chagar, depoh di Wadi Hana, jejambat melalui pusat bandaraya Johor Bahru dan melalui Selat Johor ke sempadan Malaysia-Singapura serta Kompleks CIQ Bukit Chagar.

Kemudahan itu akan menjadi sebahagian daripada pembangunan berorientasikan transit, selain sebagai hab pengangkutan pelbagai mod dan pembangunan hartanah bercampur.

“Hab pengangkutan pelbagai mod itu akan mempunyai banyak tingkat. Saya tidak ingat berapa (tetapi) ia akan menjadi bangunan pencakar langit. Oleh itu, daripada banyak tingkat itu, RTS akan menggunakan empat tingkat untuk tujuan CIQ.

“Kami akan memberikan (pakej) ini secara berperingkat dan buat masa ini, kami hanya memberi kerja-kerja awal bagi kawasan CIQ,”katanya.

Daripada RM2 bilion itu, beliau berkata sebanyak RM86 juta telah diserahkan untuk kerja-kerja awal bagi kawasan CIQ.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Zarif berkata pembangunan RTS akan menjadi pemangkin kepada pembangunan Johor Bahru yang akan menghasilkan kesan limpahan termasuk, peluang pekerjaan.

Beliau berkata Sultan Ibrahim turut memberikan idea untuk menganjurkan pertandingan reka bentuk muka (bangunan) terbaik bagi stesen RTS yang menampilkan ciri-ciri keunikan Johor dan mengimbau kembali nostalgia perjalanan kereta api dan sejarahnya di negeri itu.

Pada 30 Julai, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong bertemu di atas Tambak Johor sebagai simbolik untuk meneruskan semula projek rangkaian RTS selepas ditangguhkan tiga kali.

Idea projek itu yang dicetuskan pada 2010 dan diumumkan setahun kemudiannya adalah sistem laluan rel sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru ke Woodlands di Singapura.

RTS berfungsi sebagai sistem ulang-alik yang mudah dan kos-berkesan yang disepadukan dengan kedua-dua sistem pengangkutan awam di kedua-dua sempadan dan membantu mengurangkan kesesakan di Tambak Johor. – Bernama, 22 November, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen