Lebih separuh daripada 1,096 kes Covid-19 dari Selangor


Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap penduduk di Petaling Jaya, baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2020.

SELANGOR merekodkan separuh daripada 1,096 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini dengan 603 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata jumlah kes baharu itu menjadikan kes jangkitan keseluruhan kepada 54,775.

Sabah menyaksikan peningkatan kes harian kedua tertinggi dengan 311 kes jangkitan, diikuti Perak 55.

Hanya enam kes import dilaporkan hari ini manakala baki adalah penularan tempatan.

Sementara itu, tiga kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, yang mana kesemua kes adalah di Sabah.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kepada 335. Tiga kluster baharu jangkitan turut dikesan.

Negeri lain yang melaporkan kes baharu hari ini adalah Kuala Lumpur (30), Negeri Sembilan (29), Johor (9), Kelantan (8), Perlis (1), Pulau Pinang (15), Labuan (13), Kedah (16), Putrajaya (1) dan Melaka (5).

Sementara itu, 1,104 pesakit didiscaj daripada hospital dalam tempoh 24 jam lalu selepas pulih daripada koronavirus.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih 41,597.

Jumlah kes aktif pula adalah 12,843.

106 pesakit dirawat di unit rawatan rapi yang mana 46 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan. – 22 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen