Malaysia Airlines minta suntikan dana Khazanah, kata laporan


Kumpulan Penerbangan Malaysia sedang berunding dengan 40 pemiutang untuk melangsaikan hutang berjumlah RM16 bilion, di tengah penularan Covid-19 yang merombak operasi keseluruhan bisnes penerbangan. – Gambar EPA, 22 November, 2020.

MALAYSIA Airlines Berhad (MAB) meminta suntikan dana dari Khazanah Nasional Bhd ketika ia menyambung rundingan untuk menyusun semula hutangnya, lapor The Edge Weekly.

Syarikat penerbangan itu tidak mengesahkan jumlah bantuan yang dipohon namun laporan itu menyebut ia dipercayai mencecah hampir RM2.1 bilion (AS$$500 juta), sebagai modal baharu.

Khazanah adalah pemegang saham tunggal syarikat penerbangan nasional yang sebelum ini dikenali dengan nama Malaysian Airline System (MAS).

Sekiranya diluluskan, ia akan menjadi suntikan dana pertama Khazanah sejak bantuan RM6 bilion yang diberi dalam pelan pemulihan syarikat penerbangan itu yang diumum pada 2014.

Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG), syarikat induk MAB, kini sedang berunding dengan 40 pemiutang untuk melangsaikan hutang berjumlah RM16 bilion, di tengah penularan Covid-19 yang merombak operasi keseluruhan bisnes penerbangan.

Laporan sebelum ini menyebut Khazanah sedia menggulung syarikat itu sekiranya rundingan hutang itu buntu. Rundingan itu dilaporkan kini masuk peringkat akhir.

Selain MAB, MAG juga menaungi syarikat-syarikat berkaitan Firefly dan MasWings.

Minggu lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz sekali lagi menegaskan kerajaan menyerahkan kepada Khazanah untuk menguruskan penyusunan semula hutang syarikat penerbangan negara.

Beliau memperakui kepentingan syarikat itu bukan saja kepada pelancongan Malaysia tetapi ekonomi negara. – 22 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen