JABATAN Imigresen Malaysia patut beralih menggunakan kaedah digital dalam urusan keluar masuk sempadan negara, kata kesatuan sekerjanya, selepas pihak berkuasa membongkar kegiatan sindiket cop sempadan palsu minggu lalu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu menahan reman lebih 30 pegawai imigresen bagi membantu siasatan kegiatan rasuah dalam urusan cap palsu di pintu masuk antarabangsa negara.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) Norhisham Murujan berkata sistem cop digital, seperti yang dilaksana di Australia, boleh mengekang salah guna cop keselamatan.
“Jabatan Imigresen Malaysia tidak boleh lagi menggunakan pendekatan konvesional dalam penyediaan perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada masa ini hanya pasport biometrik Malaysia yang tidak dicop di pintu sempadan antarabangsa kerana data perjalanan itu dicatat secara elektronik dalam cip mikro padanya.
Sejak hujung 2018, Australia Border Force tidak lagi mengecop pasport semasa ketibaan atau keberangkatan, namun sedia berbuat demikian sekiranya diperlukan untuk bukti perjalanan.
Sementara itu, Norhisham juga mencadangkan beberapa langkah pemerkasaan pintu sempadan antaranya memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) di Imigresen serta membangunkan pelan anti rasuah yang menyeluruh.
Semalam, tiga lagi pegawai Imigresen termasuk seorang timbalan pengarah yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan reman lima hari untuk membantu siasatan.
Penahanan mereka menjadikan setakat ini 33 pegawai imigresen ditahan dalam Ops Selat yang dilancarkan pada 16 November. Mereka yang ditahan bertugas di KLIA, klia2 dan Bangunan Sultan Ismail Johor Bahru, Johor.
Operasi SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia melibatkan serbuan di Putrajaya, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.
Siasatan SPRM setakat ini mendedahkan sindiket ini terlibat dalam jenayah penyeludupan manusia dari China, Vietnam, Indonesia, dan Bangladesh.
Lebih RM800,000 tunai dirampas bersama 26 kereta mewah dan empat motosikal kuasa tinggi. SPRM juga menyita beberapa buah rumah, tanah, serta barang kemas.
Siasatan SPRM juga mendapati seorang pembantu penguatkuasa Gred KP19 (jawatan dengan maksimum RM4,052) memiliki empat kereta mewah jenis Rolls Royce Phantom, Mustang, Range Rover dan Audi.
Kereta itu didaftarkan atas nama dua warga China yang dipercayai agen yang beroperasi di Malaysia. SPRM sedang memburu mereka, bersama dua rakyat tempatan yang juga penama dua kenderaan itu.
Pengarah Siasatan SPRM Norazlan Mohd Razali dalam pada itu tidak menolak lebih ramai akan ditahan ketika siasatan berjalan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram 2001 (Amla).
Dalam pada itu, Norhisham berharap pihak berkuasa telus dan profesional dalam siasatan, selain meminta semua pihak berlaku adil kepada pegawai imigresen lain yang tidak terlibat.
“Tidak adil sekiranya tanggapan negatif diberikan kepada seluruh pegawai imigresen,” katanya. – 22 November, 2020.
Komen