PERDANA Menteri Britain, Boris Johnson akan mengesahkan langkah sekatan penutupan koronavirus di seluruh England yang berakhir pada 2 Disember, kata pejabatnya pada Sabtu.
Penutupan itu akan diikuti pelaksanaan semula sekatan wilayah tiga peringkat sebagai sebahagian “Pelan Musim Sejuk Covid”, tambahnya dalam satu kenyataan.
Pengumuman rasmi dijangka dibuat pada Isnin.
Kenyataan itu memetik jurucakap 10 Downing Street yang berkata sekatan di seluruh England ketika ini “membantu mengawal virus” dan “mengurangkan tekanan terhadap NHS (Perkhidmatan Kesihatan Nasional)”.
Namun, kerajaan juga memberi amaran bahawa tanpa sekatan wilayah, virus itu akan menyebabkan kekacauan sebelum rancangan pengagihan vaksin dan ujian besar-besaran sempat dilakukan.
“Ia akan membahayakan progres dicapai negara, dan sekali lagi berisiko memberi tekanan kepada NHS,” jelas jurucakap itu.
Langkah penutupan negara selama empat minggu dilaksanakan di England awal bulan ini, memaksa orang ramai tinggal di rumah dan perniagaan ditutup susulan gelombang kedua wabak Covid-19.
Pada asalnya ia dijadualkan berlangsung sehingga 2 Disember.
Lebih banyak kawasan dijangka berdepan tahap sekatan lebih ketat, kata kenyataan itu.
Situasi virus di Britain lebih buruk berbanding kebanyakan negara lain di Eropah, dengan lebih 54,000 kematian daripada 1.4 juta kes.
Kerajaan Johnson bertanggungjawab terhadap polisi kesihatan di England tetapi pentadbiran di Scotland, Wales dan Utara Ireland mengkoordinasikan tindak balas sendiri terhadap wabak tersebut.
Pada Jumaat, Setiausaha Kesihatan Matt Hancock enggan menjawab sama ada sekatan akan dilonggarkan untuk membolehkan keluarga berkumpul pada hari Krismas.
“Kami masih belum membuat keputusan itu,” katanya.
Kerajaan meminta pengawal selia bebas perubatannya untuk mengkaji vaksin koronavirus oleh kumpulan farmasi AS Pfizer dan rakan kongsi dari Jerman, BioNTech serta ,enentukan apakah ia selamat untuk diagihkan.
Pfizer dan BioNTech meminta pengawal selia AS kebenaran penggunaan kecemasan vaksin, yang akan menjadi langkah utama untuk membendung wabak global.
Perkembangan terbaharu mengenai vaksin dan ujian memberikan keyakinan yang sekatan untuk mengawal virus dapat dikurangkan secara beransur-ansur, kata pejabat perdana menteri. – AFP, 22 November, 2020.
Komen