AMERIKA Syarikat (AS) melepasi angka 12 juta kes Covid-19 pada Sabtu, menurut data dikumpul Universiti Johns Hopkins.
Ekonomi terbesar di dunia itu kini mempunyai 12,019,960 kes dan 255,414 kematian, merupakan jumlah global terburuk.
Jumlah terbaharu itu hanya enam hari selepas AS melepasi angka 11 juta kes.
Kes meningkat di AS pada tahap membimbangkan, memaksa banyak bandar mengenakan kembali langkah perintah berkurung.
Pihak berkuasa kesihatan menggesa orang ramai tidak keluar rumah menjelang cuti Hari Kesyukuran minggu depan, yang menyaksikan ramai melakukan perjalanan pulang ke kampung untuk bersama keluarga.
New York City menutup sesi persekolahannya yang belibatkan 1.1 juta pelajar, sementara California mula melaksanakan perintah berkurung bermula jam malam 10 malam hingga 5 pagi pada Sabtu.
Chicago - bandar ketiga terbesar di AS - mengeluarkan arahan duduk di rumah sejak Isnin.
Pada Jumaat, anak sulung Presiden Donald Trump, Donald Trump Jr, mengumumkan beliau positif Covid-19 dan menjalani kuarantin.
Ujian positifnya susulan jangkitan kontak rapat di White House, termasuk ayahnya, yang dirawat di hospital, isteri presiden Melania dan anak lelaki bungsu Trump, Barron.
Pentadbiran Presiden Trump dikritik hebat susulan responsnya terhadap pandemik dan kerana mengambil ringan mengenai bahaya virus.
Pada Isnin, presiden dipilih, Joe Biden menyatakan kekecewaan berhubung keengganan Trump untuk bekerjasama dalam proses peralihan White House, dengan berkata “lebih banyak orang mungkin maut” akibat koronavirus tanpa koordinasi segera dalam memerangi wabak itu.
Namun ada harapan baru: syarikat gergasi bioteknologi AS Pfizer dan rakan kongsi Jerman BioNTech mengumumkan pada Jumaat yang mereka akan meminta persetujuan untuk melancarkan vaksin koronavirus lebih awal. – AFP, 22 November, 2020.
Komen