INSTITUSI pendidikan tinggi perlu dilengkapi dengan peralatan dan bahan untuk pembelajaran dalam talian, kata bekas menteri pendidikan Maszlee Malik.
Maszlee berkata untuk melakukannya, kerajaan perlu memperuntukkan lebih banyak bagi bidang pendidikan berbanding RM50.4 bilion sekarang, yang merupakan sebahagian besar Belanjawan 2021.
Beliau berkata para pensyarah sukar mendapatkan bahan mereka sendiri untuk mengajar dalam talian kerana tiada peralatan sesuai untuk digunakan.
“Jika kerajaan tidak membangunkan perisiannya sendiri untuk membantu, maka ia perlu membiayai universiti dan kolej untuk membeli perisian tersebut dari luar negara,” katanya dalam wawancara baru-baru ini dengan The Malaysian Insight.
Katanya, dengan bahan dan alat pengajaran yang lebih baik, ia membolehkan para pensyarah bekerjasama dengan pendidik lain di luar negara.
“Sebilangan pensyarah sudah terbiasa dengan cara pengajaran konvensional dan tambahan pula, pensyarah atau kuliah kita tidak pernah dilatih untuk situasi seperti ini,” katanya.
Beliau berkata disebabkan pensyarah tidak terdedah kepada pembelajaran dalam talian, adalah penting bagi mereka yang bertanggungjawab mengambil pendekatan radikal untuk membantu semua universiti ini.
“Saya pernah meminta kepada menteri pengajian tinggi agar Kementerian Kewangan memperuntukan tambahan diberi kepada universiti untuk membantu para pensyarah membangunkan bahan pengajaran mereka sendiri.
“Sama ada kerajaan suka atau tidak, ia perlu bekerjasama dengan sektor swasta, atau universiti maju lain untuk membantu pensyarah ini,” katanya.
Maszlee berkata cara kelas dalam talian yang dijalankan sekarang agak tidak produktif.
“Tetapi pada masa ini, memandangkan saya mempunyai anak-anak yang belajar di universiti dan di rumah, mereka bergantung kepada kelas dalam talian, yang saya rasa agak tidak produktif,” katanya.
“Jika anda bergantung pada kelas dalam talian, ketika anda sedang mendengar kuliah di skrin komputer, saya rasa anda tidak mampu untuk fokus lebih daripada satu jam, ada di antaranya tertidur, walaupun hanya baru beberapa minit,” tambahnya.
“Jadi, apatah lagi bagi kelas yang dijalankan lebih dua atau tiga jam. Jadi kelas dalam talian sahaja tidak mencukupi,” katanya.
“Justeru, saya amat percaya tambahan peruntukan harus diberikan kepada universiti sama ada untuk mengembangkan kandungan pengajaran dalam talian mereka sendiri, yang dapat mereka beli daripada penyedia kandungan profesional, atau mereka boleh membelinya dari universiti lain di luar negara,” katanya.

Pertimbang semula penutupan sekolah
Maszlee juga mendesak kerajaan mempertimbangkan kembali penutupan sekolah yang akan berakhir pada 20 Januari.
Beliau berkata ini kerana negara berisiko mempunyai “generasi yang hilang” iaitu pelajar yang tidak bersekolah selama beberapa bulan.
Mereka berisiko kehilangan pengalaman belajar selama dua hingga tiga tahun, tambahnya.
Katanya, kerajaan harus bekerjasama dengan pengetua sekolah dan guru di seluruh negara untuk mengetahui cara mengelakkan penutupan sekolah.
Ketika memegang jawatan sebagai menteri pendidikan, Maszlee menerapkan beberapa polisi progresif seperti menghapuskan peperiksaan bagi pelajar Tahun Satu hingga Tiga bagi melaksanakan pendekatan yang lebih “berasaskan pembelajaran”.
Beliau juga melaksanakan program sarapan pagi percuma di sekolah untuk memastikan semua pelajar, terutama anak-anak daripada kumpulan B40, tidak kelaparan ketika belajar.
Proses pendaftaran kanak-kanak tanpa kewarganegaraan untuk memasuki sekolah kerajaan juga dipermudahkan, yang membolehkan lebih ramai kanak-kanak bersekolah.
Sebanyak 427 kanak-kanak tanpa kewarganegaraan dan dokumen dibenarkan belajar di sekolah pada 2019.
Bagaimanapun, tempoh 20 bulan Maszlee berakhir apabila beliau mengundurkan diri awal tahun ini, hanya beberapa bulan sebelum kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan. – 22 November, 2020.
Komen