PANDEMIK Covid-19 adalah peluang Malaysia mengubah dan memaknakan semula sistem pendidikan negara, kata bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata pandemik Covid-19 semasa memaksa pihak berkuasa mencari kaedah baharu pengajaran, mewujudkan ruang perubahan bukan sahaja kepada sistem tetapi juga cara pembelajaran dan aktivisme pendidikan.
Katanya, penglibatan dan pemerkasaan komuniti dan individu adalah dua perkara yang paling diperlukan dalam situasi mendesak sekarang demi pengukuhan sistem pendidikan negara.
“Negara sedang berdepan situasi sangat unik yang meletakkan sistem pendidikan dalam wilayah (ruang) yang sangat baharu,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insight.
Bagaimanapun, Maszlee menegaskan yang tanggungjawab perubahan itu tidak boleh diletakkan di pundak Kementerian Pendidikan semata-mata.
“Apa sahaja yang kita pilih untuk bergerak ke depan dalam penerokaan wilayah baharu ini, ia tidak boleh diletakkan di bahu Kementerian Pendidikan sendirian,” katanya.
Beliau menekankan yang wujud keperluan untuk terus melibatkan pihak luar seperti guru, pemimpin sekolah dan kumpulan masyarakat sivil.
Maszlee berkata penglibatan pihak luar adalah sangat mustahak kerana tiada pihak boleh mendakwa mereka lebih arif tentang ruang baharu sistem pendidikan yang muncul sekarang kerana semua pihak sedang bereksperimen dengannya.

Ketika menjadi menteri, Maszlee melaksanakan beberapa dasar progesif seperti pemansuhan peperiksaan pelajar Tahun 1 hingga Tahun 3 bagi mewujudkan pendekatan yang lebih “berpusatkan pembelajaran”.
Beliau turut melaksanakan program sarapan pagi percuma di sekolah kebangsaan dan bantuan kerajaan, bagi memastikan semua pelajar terutama daripada keluarga B40 tidak berdepan masalah kelaparan ketika sesi persekolahan.
Di bawah terajunya, Kementerian Pendidikan juga memudahkan proses pendaftaran untuk pelajar tanpa kewarganegaraan untuk memasuki sekolah kerajaan seterusnya membolehkan lebih ramai kanak-kanak tanpa hak warga memasuki sistem pendidikan negara.
Pada 2019, 427 kanak-kanak tanpa kewarganegaraan dibenarkan belajar di sekolah kerajaan.
Maszlee hanya sempat mengemudi sektor pendidikan negara selama 20 bulan, sebelum meletak jawatan awal tahun ini, beberapa bulan sebelum Pakatan Harapan tumbang di Putrajaya.
Untuk Malaysia
Pada 11 November lalu, Maszlee yang kini wakil rakyat Bebas selepas keluar Pejuang- parti diasaskan Dr Mahathir Mohamad dan kumpulan bekas pemimpin Bersatu- melancarkan gerakan perjuangan perubahan pendidikan, “Untuk Malaysia”.
“Untuk Malaysia bukan hanya gerakan untuk membantu mereka yang memerlukan, ia juga bermatlamat untuk membentuk kesedaran pendidikan dalam kalangan rakyat Malaysia.”
Sejak penubuhannya, ia sudah memulakan gerakan mengumpul dana untuk projeknya seperti Bantuan #KitaJagaSabah, Rangkaian Internet untuk 1000 Murid di Sarawak dan 1Siswa 1Laptop.
Walaupun matlamat semasa Untuk Malaysia adalah pelajar sekolah, Maszlee berkata pergerakan itu juga merancang mewujudkan platform pembelajaran untuk orang dewasa.

Jelasnya, mustahak untuk rakyat tidak menganggap Kementerian Pendidikan sebagai satu-satunya pihak penyelesai masalah pendidikan negara, kerana beliau percaya penting untuk rakyat sendiri terlibat dalam proses itu.
“Misalnya, ada orang mungkin berpandangan yang kementerian boleh selesaikan semua isu pendidikan, tetapi realitinya, pendidikan adalah tanggungjawab semua orang di negara ini.
“Setiap orang ada tanggungjawab masing-masing terhadap pendidikan, kalau tak banyak, paling kurang mereka boleh buat adalah mendidik diri sendiri atau ahli keluarga dan orang di sekeliling mereka.
“Ketika saya dalam pejabat (berjawatan), saya tengok banyak benda yang kementerian mahu buat, sebenarnya boleh dilakukan sendiri oleh komuniti dan individu. Proses jadi lebih cepat sebab anda boleh langkau birokrasi sistem,” katanya.
Baginya, matlamat Untuk Malaysia jelas iaitu membentuk kesedaran pendidikan tidak boleh diperangkap dalam ruang lingkup bilik darjah sekolah semata dan perubahan perlu digerakkan semua pihak. – 22 November, 2020.
Komen