Pelbagai langkah kawalan pergerakan bantu bendung Covid-19, kata KP kesihatan


Ketua pengarah kesihatan itu berkata bahawa jika kementerian tidak melaksanakan langkah-langkah kawalan pergerakan maka jumlah kes harian akan meningkat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2020.

PELBAGAI perintah pergerakan kawalan yang diperkenalkan sejak wabak Covid-19 bermula berjaya membantu kawalan penularan virus, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu berkata bahawa jika kementerian tidak melaksanakan langkah-langkah kawalan pergerakan maka jumlah kes harian akan meningkat.

“Sekiranya kita tidak melaksanakan perintah kawalan pergerakan dan perintah separa berkurung, negara mungkin menyaksikan 4,000 hingga 5,000 kes positif setiap hari.

“Perintah kawalan pergerakan telah membantu kami mengawal penularan,” katanya pada taklimat khas mengenai Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata bahawa berdasarkan tinjauan melibatkan 202 negara, langkah kekangan pergerakan yang dilaksana di seluruh negara itu telah membantu membendung Covid-19.

Sejak bulan Mac, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau turut berkata hasil langkah tersebut dapat dilihat setelah kawasan tersebut dilaksanakan PKP.

“Selepas 10 hari akan ada pengurangan dan lebih banyak lagi pengurangan selepas 20 hari.

“Selain perintah kawalan pergerakan berjaya bantu kurangkan penularan, penjarakan sosial juga turut memberi impak.

“Itulah sebabnya sangat penting untuk patuh semua prosedur operasi standard (SOP).”

Beliau menambah bahawa dengan pelaksanaan PKPB, kementerian berharap dapat melandaikan keluk lonjakan kes-kes yang muncul pada gelombang ketiga wabak tersebut.

“Sekiranya semua orang patuhi norma baharu, mereka akan dapat pulihkan ekonomi.” – 21 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen