Timbalan presiden Guatemala desak presiden undur diri 


"Untuk kebaikan negara, saya meminta agar kami kemukakan pengunduran rasmi kami bersama," kata Guillermo Castillo dalam satu status di media sosial berhubung pengunduran diri daripada kerajaan. – Gambar EPA, 21 November, 2020.

TIMBALAN presiden Guatemala pada hari Jumaat berkata beliau telah mendesak Presiden Alejandro Giammattei untuk mengundurkan diri bersama “bagi kebaikan negara.” 

Desakan tersebut adalah susulan pembentangan belanjawan negara yang menimbulkan kemarahan rakyat di negara Amerika Tengah itu.

“Untuk kebaikan negara, saya meminta agar kami kemukakan pengunduran rasmi kami bersama,” kata Guillermo Castillo dalam satu status di media sosial.

Beliau juga dilaporkan berkata kepada presiden bahawa “perkara ini tidak betul,” dan mengakui wujud ketegangan antara beliau dan presiden.

Giammattei, seorang doktor berusia 64 tahun memegang tampuk kerajaan pada bulan Januari dengan janji memerangi rasuah dan jenayah terancang.

Namun pentadbiran beliau didominasi kontroversi dalam usaha membendung pandemik Covid-19.

Beliau juga secara terbuka bertengkar dengan timbalannya pada bulan Mei. Giammattei berkata mereka berdua berselisih pendapat berhubung pandemik Covid-19 di negara itu.

Kongres Guatemala, yang dikuasai parti konservatif, minggu ini meluluskan belanjawan berjumlah AS$13 bilion. Ia adalah angka terbesar dalam sejarah negara itu.

Sebilangan besar dana akan digunakan untuk infrastruktur berkaitan perniagaan syarikat gergasi. Hal ini mencetuskan kemarahan rakyat di negara yang menyaksikan kemiskinan berleluasa dan separuh daripada kanak-kanak di bawah lima tahun di negara itu dilaporkan mengalami malnutrisi.

Penganalisis juga memberi amaran bahawa sepertiga daripada belanjawan tersebut perlu dibiayai oleh hutang.

Kongres negara itu juga telah meluluskan AS$3.8 juta bagi memerangi wabak Covid-19. Namun kurang dari 15% dana tersebut telah dilaburkan.

Beberapa kumpulan aktivis kini bersedia untuk mengadakan tunjuk perasaan pada hari Sabtu petang bagi menuntut presiden mengundurkan diri. – AFP, 21 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen