Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjangka Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) tidak akan dapat terus berkembang jika masih mengekalkan caj perkhidmatan penumpang (PSC).
Walhal, klia2 lebih maju berbanding Terminal Tambang Murah (LCCT), kata jurucakap Mavcom kepada The Malaysian Insight.
Beliau menjelaskan, kadar PSC, yang sebelum ini dikenali sebagai cukai lapangan terbang, masih tidak berubah sejak 2011.
“Ini bermakna lapangan terbang beroperasi dengan kadar yang ditetapkan sebelum kewujudan klia2, sebelum ini LCCT masih digunakan (pada 2006).”
Justeru menurut Mavcom, apabila klia2 mula beroperasi, ia masih menggunakan kadar PSC yang sama dengan LCCT yang tidak mampan untuk operasi dan penyelenggaraan lapangan terbang yang lebih maju.
“Memang difahami, kadar PSC LCCT lebih rendah berbanding lapangan terbang lain yang mana kemudahannya kurang maju, dengan kapasiti yang lebih rendah.
“Bagaimanapun, apabila klia2 memulakan operasi, ia masih menggunakan kadar PSC yang sama dengan LCCT, walaupun mempunyai kemudahan dan perkhidmatan yang lebih unggul.
![]()
“Keadaan ini tidak mampan, dengan kos operasi dan penyelenggaraan lapangan yang lebih besar dan maju lebih tinggi.
“Ia tidak baik untuk sektor ini,” kata jurucakap berkenaan sebagai maklum balas pertanyaan The Malaysian Insight.
Bermula 1 Januari 2018, kadar PSC bagi semua destinasi antarabangsa dari mana-mana lapangan terbag Malaysia adalah RM73. Kini, ia RM50 untuk destinasi antarabangsa bukan Asean dari klia2 dan RM65 dari lapangan terbang lain.
Bermula 1 Januari 2017, kadar PSC untuk destinasi antarabangsa meningkat dari RM65 kepada RM73 di KLIA dan lapangan terbang lain manakala klia2 meningkat dari RM32 kepada RM50.
Sebagai reaksi kepada kenaikan ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes berkata PSC baharu akan menyebabkan sukar untuk semua orang terbang.
Mavcom turut mengulangi bahawa klia2 tidak pernah direka sebagai terminal tambang murah dan bukan “lapangan terbang hibrid” sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak.
“Inilah sebabnya mengapa kadar PSC adalah “tidak wajar” kerana “klia2 mempunyai kemudahan dan perkhidmatan yang lebih maju”,” kata jurucakapnya.
“Hakikatnya, berbanding lapangaan terbang antarabangsa lain di Malaysia seperti Pulau Pinang, Langkawi, Kota Kinabalu, Senai dan sebagainya, tidak dinafikan klia2 adalah lapangan terbang yang canggih, moden dan terbaik.”
Tiada impak pada perjalanan udara
Tambah Mavcom, sejak semakan semula SC diperkenalkan pada awal 2017, trafik penumpang meningkat dan membuktikan bahawa cukai tidak memberi impak terhadap pertumbuhan perjalanan udara.
“Kami sedia maklum bahawa trafik penumpang udara Malaysia meningkat dari tahun ke tahun dengan 8.9% sehingga November 2017.
“Ini adalah petunjuk jelas bahawa semakan semula PSC yang berkuatkuasa Januari 2017 tidak memberikan impak negatif kepada pertumbuhan perjalanan udara,” kata jurucakap Mavcom.
PSC akan menggantikan subsidi daripada kerajaan untuk operasi dan penyelenggaraan lapangan terbang.
“Di bawah Perjanjian Operasi antara Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan kerajaan Malaysia, Kerajaan perlu membayar subsidi kepada MAHB sebagai sebahagian daripada kos operasi klia2
“Subsidi ini akan dihapuskan serta merta sebagai hasil daripada penyamaan PSC, bermakna dana itu akan diperuntukkan bagi memperkukuhkan sektor dan negara, seperti perkhidmatan udara luar bandar Sabah dan Sarawak, atau mempromosikan pelancongan.”
Jurucakap itu juga berkata, penyesuai PSC hanya akan menjejaskan segmen penerbangan jarak jauh keluar dari klia2.
“Untuk menjelaskan, persamaan ini hanya akan memberi kesan kepada segmen penumpang penerbangan jarak jauh dari klia2, yang hanya berjumlah 4.4% daripada jumlah pelancong yang keluar dari Malaysia.” – 20 Disember, 2017.

Komen