SARAWAK merekodkan sifar kes baharu Covid-19 hari ini selepas sebulan ia dilaporkan kali terakhir pada 19 Oktober lalu.T
Trend penurunan jumlah kes positif di negeri ini telah mendorong Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mungkin akan ditamatkan di daerah Kuching esok.
Daerah yang mempunyai ramai penduduk itu adalah satu-satunya tempat di negeri ini yang melaksanakan PKPB bagi memutuskan penularan penyakit berjangkit yang telah meragut 19 nyawa dan menjangkiti 1,055 orang setakat ini.
Timbalan Ketua Menteri James Masing, yang mengambil alih jawatankuasa sementara pengurusan bencana negeri (JPBN), bakal mengadakan sidang media esok. Ia akan mengumumkan maklumat terkini mengenai wabak di negeri ini.
Walaupun masih dalam zon merah, Kuching mempunyai 40 kes aktif atau lebih selain enam kluster aktif.
JPBN turut melaporkan seorang lagi pesakit hari ini pulih dari jangkitan dan dibenarkan pulang.
Maklumat terkini itu mendorong kadar pemulihan negeri sebanyak 92.13% atau 972 daripada 1,055 kes.
Setakat ini, hanya 64 pesakit yang masih ditempatkan di hospital bagi pengasingan dan rawatan. 56 pesakit di Hospital Sarawak dan lapan di Hospital Miri.
Tiada pesakit yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini, kata jawatankuasa itu lagi. – 21 November, 2020.
Komen