PELAKSANAAN gelembung perjalanan udara antara Singapura dan Hong Kong yang dijadualkan bermula Ahad ini ditangguhkan selama dua minggu selepas berlaku lonjakan kes Covid-19 di Hong Kong, kata Menteri Pengangkutan Singapura Ong Ye Kung, di Facebooknya.
Keputusan itu dibuat selepas Ong mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perusahaan dan Pembangunan Ekonomi Hong Kong Edward Yau.
“Memandangkan situasi terkini di Hong Kong, Yau dan saya berbincang lanjut tengah hari tadi dan memutuskan adalah lebih baik menangguhkan pelancaran gelembung perjalanan udara selama dua minggu,” kata Ong.
Menurutnya lagi, keputusan itu akan disemak semula dua minggu lagi dan tarikh perjalanan baharu akan dimaklumkan kemudian.
Syarikat penerbangan akan menghubungi penumpang yang terjejas dengan keputusan itu, tambahnya.
Pada Sabtu, Hong Kong melaporkan 43 kes baharu Covid-19 dengan 36 daripadanya adalah kes jangkitan tempatan.
Singapura pula hari ini melaporkan sifar kes jangkitan tempatan dan hanya lima kes jangkitan import. – 21 November, 2020.
Komen