KEPUTUSAN Putrajaya membenarkan perjalanan rentas sempadan antara zon hijau dalam negara akan merancakkan semula industri pelancongan yang terjejas teruk kerana pandemik Covid-19, kata Majlis Pelancongan Malaysia (MTC).
Presiden MTC Uzaidi Udanis berkata kerugian ditanggung industri dianggarkan mencecah RM45 bilion sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasa, Mac lalu.
“Industri pelancongan merupakan antara industri yang paling awal terjejas yang melibatkan hampir 4 juta orang di negara ini dan dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM45 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.
Beliau turut berharap peruntukan RM20 juta yang diberikan kepada industri itu dalam Belanjawan 2021 akan dapat disalurkan kepada penggiat industri secepat mungkin.
Jelasnya, peruntukan itu akan menggalakkan lebih banyak perbelanjaan dalam negara dan membantu ekonomi negara.
“Bagi menyahut seruan kerajaan dalam melaksanakan pelan pemulihan pelancongan ini, pihak Majlis Pelancongan Malaysia bersedia berganding bahu dengan pihak Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya dalam memastikan semua penggiat industri pelancongan yang terjejas sama-sama mendapat manfaat daripada pelan tersebut.” katanya.
Uzaidi, bagaimanapun, berharap kerajaan dapat mengeluarkan garis panduan jelas dan terperinci bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat.
Semalam, mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) diberikan taklimat oleh Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya tentang cadangan membenarkan pelancongan gelembung perjalanan zon hijau bagi membantu industri pelancongan negara.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran rentas sempadan itu hanya terpakai kepada penduduk negeri atau daerah zon hijau dan destinasinya juga perlulah berada dalam zon hijau.
Beliau menggunakan contoh, penduduk Kuantan yang merupakan zon hijau boleh bercuti di Taman Negara, Kuala Tahan, yang juga zon hijau.
Bagi penduduk Pahang yang mahu ke Johor, yang juga zon hijau, tetapi perlu melepasi Negeri Sembilan- zon merah- perlu mendapatkan kebenaran polis.
Katanya, penduduk zon hijau tidak dibenarkan pergi ke kawasan zon merah tanpa kebenaran polis. – 21 November, 2020.
Komen