KERAJAAN Sabah berharap kapasiti makmal di negeri itu akan dapat ditingkatkan tahun depan sehingga mampu memproses 4,000 ujian sampel Covid-19 dalam sehari, berbanding hanya 2,700 ujian sahaja dalam sehari ketika ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata sehingga semalam, 4,496 sampel Covid-19 di Sabah belum diproses.
Beliau berkata 64% daripada jumlah itu diuruskan di Sabah manakala selebihnya dikendalikan di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, Sungai Buloh; Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kuala Lumpur, dan makmal swasta yang lain.
Bercakap kepada pemberita dalam sidang media harian Covid-19 Sabah, di sini hari ini, beliau berkata sehingga semalam 3,030 bayi dan kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun dilaporkan dijangkiti Covid-19 di negeri ini, dengan 1,241 daripadanya adalah kanak-kanak berumur kurang dari lima tahun dan 191 adalah bayi berumur di bawah setahun.
Merujuk kepada perkembangan Covid-19 di Sabah, Masidi berkata 512 kes positif baharu dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes itu di negeri ini ialah 25,441, dengan 300 pesakit Covid-19 telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital.
Menurutnya 2,268 pesakit sedang menerima rawatan di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) seluruh negeri, dengan 35.01% daripada 6,478 kapasiti katil di hospital dan PKCR seluruh negeri, digunakan. – Bernama, 20 November, 2020.
Komen