Kluster Covid-19 Mengketil merebak pantas, kata KP kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kadar kebolehjangkitan tinggi daripada Kluster Mengketil di Kelantan, menyebabkan kes kluster itu merebak pantas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2020.

KADAR kebolehjangkitan yang tinggi daripada Kluster Mengketil di Kelantan, menyebabkan kes kluster itu merebak dengan pantas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata selain merekodkan peningkatan kes yang mendadak dalam tempoh singkat, kluster itu merebak ke Kota Baru, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai di negeri berkenaan selain turut dikesan di Besut,Terengganu.

Justeru, katanya tindakan proaktif dan pencegahan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan mulai esok diambil  bagi memperlahankan peningkatan kes di negeri itu.

“Satu sebab jangkitan berlaku di Kelantan adalah kes dari zon atau daerah merah yang kembali ke negeri tersebut dengan membawa jangkitan.

“Jadi kita bimbang, sebab ada banyak pergerakan dari satu daerah ke daerah lain, dari negeri ke negeri lain. Jadi kebolehjangkitan itu adalah tinggi,”  katanya pada sidang media perkembangan Covid-19, hari ini.

Kluster Mengketil dikesan di Kelatan pada 12 November dan sehingga hari ini sebanyak 45 kes direkodkan dengan pertambahan tiga kes baharu hari ini.

Hari ini kerajaan mengumumkan perlaksanaan PKPB di seluruh Kelantan mulai esok sehingga 6 Disember.

Mengambil contoh Kluster Cheras dan Kluster Kaya, Dr Noor Hisham berkata jangkitan kluster itu berlaku di Lembah Klang dan Negeri Sembilan tetapi individu terlibat pulang ke Kelantan dan menjangkiti keluarga terdekat dan komuniti. 

Ditanya unjuran kebolehjangkitan di Kelantan, Dr Noor Hisham berkata ia di peringkat awal namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap dapat memperlahankan peningkatan kes dalam tempoh dua minggu melalui kaedah PKPB. 

Beliau berkata kaedah PKPB dalam mengimbangi kesihatan dan ekonomi telah mengelakkan lonjakan kes yang tinggi,  dengan empat minggu pelaksanaan sebelum ini dapat mengurangkan kadar kebolehjangkitan dari 2.2 kepada 1.0.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata KKM akan meningkatkan kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memastikan individu yang sudah menjalani saringan sebelum meninggalkan  Sabah, untuk dipakaikan gelang dan dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sebelum dibenarkan keluar dari KLIA. 

Ini susulan kes indeks Kluster Bah Bercham di Daerah Kinta, Perak yang menjalani saringan dan disahkan negatif di Tawau tiga hari sebelum bertolak ke Kuala Lumpur, namun tidak mengambil gelang kuarantin ketika tiba di KLIA.

“Sepatutnya bila negatif dia (kes indeks berkenaan)  kena pergi ke kaunter (KKM) untuk dipakaikan gelang dan dikeluarkan arahan HSO.Tapi (individu itu) tidak  pergi kaunter dan terus keluar (dari KLIA),” katanya. 

Dr Noor Hisham berkata, kes berkenaan hanya dikesan apabila individu itu bergejala dan mendapatkan rawatan. 

Beliau berkata 17% daripada mereka yang pulang dari Sabah didapati positif Covid-19  pada hari ke-13, manakala individu yang pulang dari luar negara pula, 22% didapati positif juga pada hari ke-13. – Bernama, 20 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen