Pelancongan domestik dibenarkan di kawasan zon hijau


Alfian Z.M. Tahir

Putrajaya meluluskan program gelembung perjalanan hijau, membenarkan individu dari zon hijau ke zon hijau lain bagi membantu industri pelancongan domestik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2020.

BAGI membantu meningkatkan pelancongan domestik, Putrajaya meluluskan program gelembung perjalanan hijau, yang membenarkan individu dari zon hijau melawat kawasan zon hijau yang lain, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan itu berkata keputusan dibuat selepas mengkaji situasi semasa dalam industri pelancongan.

“Kita sedar indutri pelancongan domestik terjejas teruk akibat pandemik ini. Jadi kami buat keputusan untuk membenarkan program gelembung perjalanan hijau bermula pada 22 November (Ahad),” katanya.

Mengikut program itu, Ismail Sabri berkata mereka yang berada dalam zon penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) boleh melakukan perjalanan rentas daerah tanpa perlu mendapatkan permit polis.

Beliau berkata perjalanan rentas negeri dari zon hijau ke zon hijau yang lain juga boleh dilakukan di bawah program gelembung perjalanan itu.

“Misalnya di Pahang, anda boleh ke Terengganu kerana kedua-dua negeri itu kini kawasan zon hijau.

“Jika anda dari Pahang dan hendak ke Johor, anda perlukan permit kerana perlu melalui kawasan zon merah. Hanya jika anda perlu melalui zon merah, anda perlukan permit polis.

“Anda tidak boleh berhenti di zon merah dan perlu terus ke destinasi dituju, kecuali jika anda menaiki bas. Jika anda melakukan perjalanan dengan menaiki bas, anda tidak perlukan permit polis,” katanya. – 20 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen