AUSTRALIA Selatan akan memendekkan tempoh enam hari perintah berkurung di negeri itu, dua hari lebih awal selepas dua lelaki yang juga bekerja sebagai chef di kedai pizza dikesan menjadi punca penyebaran Covid-19.
Ketua Menteri Steven Marshall berkata perintah berkurung di negeri yang mempunyai lebih dua juta penduduk itu ditamatkan pada Sabtu ini selepas mengesan punca sebenar penularan.
Menurutnya seorang lelaki yang disyaki dijangkiti virus itu melalui kotak makanan yang dibawa pulang pada awalnya mendakwa dia merupakan pelanggan di kedai berkenaan tetapi sebenarnya bekerja di situ.
“Salah seorang pekerja kontak rapat yang dikaitkan dengan kedai pizza itu memberikan maklumat tidak benar kepada pasukan pengesanan kontak kami.
“Kami paksa mereka. Kami tahu mereka tipu,” katanya.
Pihak berkuasa berkata perintah berkurung masih diperlukan dan pelanggan kedai pizza perlu tampil membuat ujian.
Pada Rabu semua sekolah, kedai, pub, kilang dan restoran pandu lalu diarahkan ditutup dan orang ramai diminta terus berada di rumah bagi menghalang pergerakan penduduk di seluruh negeri berkenaan.
Susulan itu seramai 10,000 menjalani ujian dan didapati tidak berlaku jangkitan dalam komuniti dan kluster itu hanya mencatatkan 25 kes sehingga menyebabkan pihak berkuasa dituduh mengambil tindakan berlebihan dalam isu berkenaan.
Penduduk di Adelaide dan seluruh negeri itu akan dibenarkan keluar rumah untuk melakukan aktiviti riadah dan beberapa larangan lain akan dilonggarkan mulai Sabtu ini. – 20 November, 2020.
Komen