SERAMAI 422,609 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tetap meneruskan bayaran balik pinjaman walaupun diberi kelonggaran penangguhan akibat pandemik Covid-19, kata ketua eksekutifnya.
Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata sejak Mac hingga Oktober PTPTN merekod jumlah kutipan bayaran balik berjumlah RM595.25 juta.
“Pelaksanaan penangguhan bayaran balik pinjaman adalah langkah prihatin ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
“Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN memberi manfaat kepada 1.5 juta peminjam dengan jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik pinjaman adalah sebanyak RM1.13 bilion bermula Mac hingga Disember 2020.
“Bagaimanapun, inisiatif peminjam yang kekal komited dengan memilih untuk terus melakukan bayaran balik pinjaman ini menggambarkan kesungguhan dan sokongan padu mereka dalam bersama berganding bahu bagi membantu memastikan kelestarian PTPTN.
“PTPTN mengucapkan syabas dan jutaan terima kasih serta merakamkan penghargaan kepada semua peminjam PTPTN yang meneruskan tanggungjawab menunaikan bayaran balik pinjaman mereka dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dasuki berkata sehingga Oktober seramai 422,609 peminjam atau 28.17% daripada 1.5 juta keseluruhan peminjam yang patut membuat bayaran balik memilih untuk meneruskan bayaran balik pinjaman mereka.
“Ini menunjukkan peminjam PTPTN masih terus berusaha membuat bayaran balik pinjaman mereka walaupun berada dalam keadaan sukar akibat pandemik Covid-19.
“Usaha sebegini seharusnya menjadi ikutan kepada peminjam lain yang berkemampuan dan tidak terjejas disebabkan pandemik Covid-19,” jelasnya.
Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad pada Ogos lalu berkata Putrajaya setuju untuk melanjutkan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN selama tiga bulan mulai 1 Oktober hingga 31 Disember ini.
Penangguhan membabitkan membabitkan jumlah bayaran balik kira-kira RM375 juta, menjadikan jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik adalah sebanyak RM1.13 bilion, katanya. – 20 November, 2020.
Komen