PENUTUPAN sempadan antara Amerika Syarikat (AS) dan dua negara jirannya Kanada serta Mexico akan dilanjutkan sehingga 21 Disember bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19, kata setiausaha keselamatan dalam negeri AS semalam.
Chad Wolf menerusi Twitter berkata untuk terus mencegah penyebaran Covid-19, Mexico dan Kanada akan melanjutkan sekatan perjalanan tidak penting sehingga 21 Disember.
“Kita bekerjasama erat dengan Mexico dan Kanada untuk menjaga perdagangan dan perjalanan penting serta melindungi warganegara kita dari virus,” katanya.
Menteri Keselamatan Awam Kanada Bill Blair di Twitter mengesahkan keputusan itu dengan mengatakan keputusan itu akan terus berdasarkan nasihat awam terbaik yang tersedia untuk menjaga keselamatan warga Kanada.
Sempadan AS-Kanada merupakan sempadan darat terpanjang di dunia ditutup pada Mac.
Lanjutan penutupan ini diperbaharui setiap bulan sejak itu. Hanya perdagangan barang dan perjalanan penting yang dibenarkan.
Covid-19 melonjak di AS dengan jumlah kematian akibat virus ini melebihi 250,000 dan lebih 11.6 juta kes direkodkan – kedua-duanya adalah yang terburuk di seluruh dunia.
Virus ini menyebabkan lebih 99,000 kematian di Mexico dan lebih 11,000 di Kanada. – AFP, 20 November, 2020.
Komen