Persatuan peniaga bantah larangan jual arak di kedai runcit


Angie Tan

Keputusan DBKL mengharamkan penjualan arak di kedai runcit, serbaneka dan farmasi tidak perlu dan boleh memburukkan masalah sedia ada, kata persatuan peniaga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2020.

KEPUTUSAN mengharamkan penjualan arak di kedai runcit, kedai serbaneka dan farmasi di Kuala Lumpur mula mendapat bantahan persatuan peniaga.

Menurut mereka, ketika perniagaan sekarang berdepan pelbagai masalah, keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan menyukarkan lagi operasi.

Bagi mereka, tindakan itu tidak perlu dan berharap kerajaan akan mempertimbangkannya semula.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Hong Chee Meng memberitahu The Malaysian Insight yang dasar itu akan memberi kesan buruk kepada perniagaan.

“Bila orang tidak dapat beli arak dari kedai runcit dan serbaneka, mereka yang mahu minum masih akan cari jalan berbuat demikian, seperti pergi ke bar untuk minum, yang boleh menyebabkan masalah lain misalnya pemandu mabuk. Jika mereka beli di kedai dan balik rumah untuk minum, ia jauh lebih selamat,” kata Hong.

Beliau turut memberi amaran yang langkah itu boleh menyebabkan penjualan arak haram berleluasa.

“Saya bimbang jika orang tak boleh beli dari kedai, mereka akan beli dari pasaran gelap pula, memburukkan lagi masalah arak haram,” kata Hong lagi.

Tambahnya, pihak berkuasa sepatutnya mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan dan perniagaan ketika penggubalan dasar dan bukannya mengambil keputusan sendiri sahaja.

“Sejak pandemik bermula, rakyat dan perniagaan sudah susah dan semua orang sekarang berjuang untuk terus hidup. Perkara ini (penjualan arak) bukan perkara baru, dan sudah menjadi sebahagian daripada identiti pelbagai budaya Malaysia sejak berdekad lamanya.

“Tambahan pula, kerajaan sudah bertindak tegas ke atas kejadian pemandu mabuk, saya rasa ia sudah mencukupi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan yang kedai runcit dan serbaneka tidak menjual arak dalam jumlah yang banyak kerana kosnya yang tinggi dan caj lesen yang mahal.

“Lesen arak lebih mahal berbanding lesen alkohol biasa, boleh cecah RM1,000 jadi tak banyak perniagaan mohon. Tetapi, isunya sekarang bukan berapa banyak anda jual, tetapi apa sebab dasar seperti ini dibuat?

“Ia menyumbang kepada cukai kerajaan dan saya rasa ia tidak (pengharaman) tidak perlu. Saya harap kerajaan akan pertimbangkan semula dasar ini,” katanya.

Tambahnya, persatuan peniaga mahu mengadakan pertemuan dengan DBKL bagi mendesak pengharaman itu dibatalkan. – 20 November, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen