4 kluster baharu Covid-19 dikesan


Ragananthini Vethasalam

Empat kluster baharu Covid-19 yang dikesan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif kepada 165.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan hari ini melaporkan empat kluster baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif kepada 165.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Kapas BJ yang menyumbang kes tinggi di Selangor, dikesan selepas pekerja kilang disahkan positif Covid-19 menerusi ujian yang dijalankan pada 18 November.

Kluster itu setakat ini melaporkan 76 kes positif.

Sementara itu, 20 kes positif dikesan daripada kluster Prestij di Kuala Lumpur.

“Kluster ini membabitkan pekerja syarikat kebersihan di Lembah Pantai dan Titiwangsa di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.

Di Perak, pihak berkuasa kesihatan mengesan kluster Bah Bercham yang berpunca daripada seorang individu yang melakukan perjalanan ke Sabah baru-baru ini.

Lima kes positif turut dikesan dalam klusteri ini dan kesemua mereka kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

Kluster baharu keempat ialah kluster Kiambang yang mempunyai sembilan jangkitan di Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru selepas pesakit kes indeks disahkan positif Covid-19.

Saringan lanjut membawa kepada penemuan sembilan lagi kes. Semua 10 pesakit itu kini dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor.– 19 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen