MALAYSIA hari ini melaporkan 1,290 kes baharu jangkitan Covid-19 dengan Sabah dan Selangor secara kolektif menyumbang lebih dari seribu kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata Sabah melaporkan 660 kes manakala Selangor 407 kes.
Kes terbanyak di Sabah adalah daripada kluster penjara dan pusat tahanan yang menyumbang 250 kes.
Sementara itu peningkatan kes di Selangor adalah daripada kluster tempat kerja Teratai dan Kapas yang mana masing-masing menyumbang 245 dan 55 kes.
Jumlah kes baharu itu menjadikan kes keseluruhan jangkitan seluruh negara 51,680.
Hanya lima daripada kes yang direkodkan hari ini adalah kes import manakala selebihnya penularan tempatan.
Sementara itu, empat kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian 326. Dua daripada kes kematian itu dilaporkan di Sabah, manakala dua lagi masig-masing di Perak dan Johor.
Dalam tempoh 24 jam lalu, 878 pesakit didiscaj daripada hospital selepas pulih daripada wabak.
Ia sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih kepada 38,132.
Jumlah kes aktif pula adalah 13,222.
110 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi dan 37 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. – 19 November, 2020.
Komen