KERAJAAN negeri menyediakan peruntukan khas RM40 juta tahun depan khusus bagi membantu seluruh rakyat Kelantan yang terkesan oleh pandemik Covid-19, dengan kaedah serta pelaksanaan penyampaiannya diperincikan kemudian oleh exco yang berkaitan.
Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob turut mengesahkan bahawa satu prosedur operasi standard (SOP) tambahan telah dikeluarkan kerajaan negeri dalam usaha membendung penularan Covid-19, berkuat kuasa semalam.
Antara yang ditetapkan oleh SOP itu adalah waktu operasi premis perniagaan dihadkan ke pukul 11.30 malam, operasi stesen minyak dan kedai runcit dihadkan ke pukul 12 malam dan bilangan pelanggan di kedai makan dihadkan hanya empat pelanggan sahaja bagi satu meja.
Bagi majlis keraian pula, termasuk majlis perkahwinan, kehadiran dihadkan kepada jumlah 150 orang sahaja, dan ia perlu dimaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia sekurang-kurangnya lima hari sebelum majlis diadakan.
Terdahulu Ahmad yang merasmikan Hari Kelantanku Bersih 2020 di sini menyerahkan 13 buah lori kompaktor dan empat buah lori kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), yang melibatkan kos RM5 juta, yang menyerlahkan komitmen kerajaan bagi menjadikan Kelantan negeri bersih dan indah.
Dalam majlis yang sama juga bandar daerah Kuala Krai dinobatkan sebagai bandar paling bersih bagi kategori pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Kelantan bagi tahun 2020 sekaligus Majlis Daerah Kuala Krai berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM25,000 yang disampaikan oleh Ahmad. – Bernama, 19 November, 2020.
Komen