Zunar minta bantuan Suhakam lawan sekatan perjalanan


Low Han Shaun

Kartunis Zunar (tiga dari kiri) bersama Pesuruhjaya Suhakam Lok Yim Pheng ketika hadir membuat aduan berhubung sekatan perjalanan ke luar negara yang dikenakan terhadapnya. – Gambar The Malaysian Insight, 20 Disember, 2017.

KARTUNIS kontroversi Zulkifee Anwar Ulhaque berkata kewangannya terjejas apabila dikenakan larangan ke luar negara dan pada masa ini sedang mendapatkan bantuan Suruhanjaya Hak Asasi manusia Malaysia (Suhakam) untuk melawan kesnya itu.

Lebih dikenali sebagai Zunar, katanya beliau mahu Suhakam secara terbuka menyatakan pendirian terhadap larangan perjalanannya dan membawa perkara itu ke Putrajaya bahawa haknya untuk ke luar negara dilanggar.

“Saya ada sembilan buku dan satu lagi pameran yang diharamkan.

“Saya menerima banyak jemputan ke luar negara untuk menyampaikan ceramah di mana saya akan menerima bayaran. Jadi, kewangan saya memang terjejas apabila dikenakan sekatan perjalanan,” katanya ketika membuat aduan di Suhakam hari ini.

Zunar memohon dua bantuan daripada Suhakam untuk membolehkan sekatan perjalanan yang dikenakan padanya sejak 24 Jun tahun lalu, ditarik balik.

“Saya meminta dua perkara, iaitu supaya Suhakam menyatakan pendiriannya secara terbuka berkenaan kes saya sama ada ia membenarkan atau adakah ia melanggar hak seseorang rakyat Malaysia untuk ke luar negara.

“Kedua, saya minta Suhakam bawa perkara ini ke Putrajaya untuk beritahu mereka perbuatan ini melanggar hak rakyat Malaysia berdasarkan kepada perlembagaan,” katanya.

Zunar berkata tidak adil apabila pengarah imigresen menarik balik sekatan perjalanan terhadap Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, tetapi enggan memberikannya satu alasan pun kenapa dia dilarang ke luar negara.

“Sekatan orang lain seperti Maria dan Pua sudah pun ditarik balik. Tetapi jika keadaan ini berterusan dan tidak ada hitam putih daripada polis dan imigresen tentang larangan terhadap saya, tidak tahulah apa akan jadi pada saya,” katanya.

Setakat ini, katanya beliau hanya menerima surat rasmi Jabatan Imigresen menyatakan mereka bertindak atas arahan polis dan kerana sebab khas.

Pesuruhjaya Suhakam Commissioner Lok Yim Pheng yang menerima aduan Zunar itu, berkata suruhanjaya itu akan mengadakan mesyuarat khas dengan polis berhubung isu sekatan perjalanan.

“Kami akan siasat, mungkin awal Januari akan diadakan satu mesyuarat dengan polis Cawangan Khas, bukan saja untuk kes Zunar, tetapi kes lain membabitkan sekatan perjalanan.

“Kami dalam proses mendapatkan tarikh dengan polis,” katanya.

Zunar memfailkan permohonan undang-undang mencabar sekatan terhadapnya itu pada 7 Disember tahun lalu, menamakan ketua pengarah imigresen, menteri dalam negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Pada 14 April, mahkamah membenarkan permohonan Zunar untuk mendapatkan semakan kehakiman bagi mencabar sekatan perjalanan yang dikenakan terhadapnya oleh jabatan berkenaan.

Pada 29 November, permohonan Zunar untuk menangguhkan sekatan perjalanannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi. – 20 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen