Produktiviti buruh bertambah baik pada suku ketiga 2020 


Produktiviti sektor pembinaan terus menyusut bagi tempoh tiga suku berturut-turut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2020.

PRODUKTIVITI buruh Malaysia bertambah baik dengan penurunan lebih kecil sebanyak 2.2 peratus pada suku ketiga 2020 (ST3 2020) berbanding negatif 16.0 peratus pada suku kedua 2020, demikian menurut Jabatan Perangkaan hari ini.

Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin berkata produktiviti buruh di negara ini pada ST3 2020 mencatat penurunan perlahan 2.2 peratus dengan merekodkan nilai produktiviti RM23,248 setiap pekerja (ST2 2020: RM19,446 setiap pekerja). 

“Pada suku ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyusut pada kadar lebih perlahan iaitu 2.7 peratus daripada penguncupan dua digit 17.1 peratus pada ST2 2020. 

“Berikutan pembukaan semula lebih banyak perniagaan pada suku ini, pekerja turun marginal 0.4 peratus kepada 15.1 juta orang (ST2 2020: 14.9 juta orang, -1.3 peratus),” katanya dalam kenyataan bersempena Laporan Produktiviti Buruh Suku Ketiga 2020 yang dikeluarkan hari ini.

Ia melaporkan statistik produktiviti buruh mengikut aktiviti ekonomi, yang diukur sebagai nilai ditambah setiap pekerja dan nilai ditambah bagi setiap jam bekerja.

Mengulas mengenai produktiviti buruh dalam laporan itu, Mohd Uzir berkata waktu operasi perniagaan lebih panjang pada ST3 2020 telah menyebabkan jumlah jam bekerja menurun pada kadar lebih perlahan iaitu 2.7 peratus iaitu merekodkan 8.5 bilion jam berbanding negatif 28.2 peratus (6.2 bilion jam bekerja) pada suku sebelumnya.

“Justeru, produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah setiap jam bekerja meningkat secara marginal 0.1 peratus dengan nilai RM41 setiap jam selepas mencatatkan peningkatan 15.5 peratus (RM46 setiap jam) pada ST2 2020,” katanya.

Mengikut sektor ekonomi, produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah setiap pekerja dalam sektor pembuatan pulih kepada 3.6 peratus daripada negatif 17.3 peratus pada ST2 2020.

Sektor pertanian yang merupakan satu-satunya sektor yang mencatatkan pertumbuhan positif produktiviti buruh pada ST2 2020 (1.6 peratus), tumbuh sederhana kepada 0.3 peratus pada ST3 2020.

Selain itu, produktiviti buruh bagi lain-lain sektor terus merekodkan penurunan dengan sektor pembinaan mencatat penurunan tertinggi sebanyak 10.2 peratus, diikuti oleh perlombongan dan pengkuarian (-4.6 peratus) dan perkhidmatan (-3.9 peratus).

Dari segi produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah setiap jam bekerja, sektor pembuatan dan pertanian kekal mencatatkan pertumbuhan positif seperti suku sebelumnya walaupun pada kadar lebih perlahan iaitu masing-masing sebanyak 6.9 peratus (ST2 2020: 15.2 peratus) dan 0.6 peratus (ST2 2020: 16.1 peratus).

Produktiviti sektor pembinaan terus menyusut bagi tempoh tiga suku berturut-turut dengan merekodkan kejatuhan tertinggi 9.0 peratus.

Dalam pada itu, produktiviti buruh perlombongan dan pengkuarian susut 4.5 peratus manakala perkhidmatan turun 1.4 peratus.

“Ketika negara masih berusaha mengekang pandemik Covid-19, perniagaan berdepan dengan cabaran untuk mengimbangi antara kelangsungan operasi perniagaan dengan permintaan yang perlahan.

“Dalam usaha perniagaan menyesuaikan strategi operasi mereka, pekerja juga perlu mengadaptasi norma baharu.

“Semua ini memberi impak terhadap produktiviti buruh. Dalam hal ini, pelbagai pakej rangsangan yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun ini berupaya mengurangkan kesulitan yang dihadapi oleh semua pihak termasuk perniagaan dan pekerja yang seterusnya menjamin kelangsungan mereka,” katanya. – Bernama, 19 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen