Tanah 400 hektar milik UiTM Jengka bukan lagi hutan simpan, kata MB Pahang


Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata pembatalan status hutan dilakukan Pihak Berkuasa Negeri mengikut Seksyen 13 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313). – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2020.

KAWASAN seluas 465.75 hektar, milik Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan tapak sebuah pasar raya di Jengka, kira-kira 100 kilometer dari Kuantan, tidak lagi berstatus hutan simpan, kata Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata pembatalan status hutan itu dilakukan Pihak Berkuasa Negeri mengikut Seksyen 13 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dengan pemberitahuan pengisytiharan pembatalan dibuat melalui Warta Kerajaan Negeri Pahang bertarikh 11 Disember 2019.

“Pembatalan status berkenaan bermaksud status hutan di belakang UiTM kampus Jengka serta tapak pasar raya itu bermakna kawasan tersebut tidak lagi menjadi sebahagian daripada Hutan Simpan Jengka,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini, bagi menjawab soalan Shahril Azman Abd Halim (PAS-Jengka) yang ingin tahu status terkini hutan tersebut.

Tindakan pembatalan status itu, menurut Wan Rosdy dilakukan untuk membolehkan pembangunan yang lebih baik dan terancang bagi meningkatkan ekonomi penduduk setempat dan daerah Maran secara amnya. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang Nazri Ngah berkata peneroka di Bukit Goh di Kuantan, yang berdepan tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana didakwa gagal membayar cukai semasa terlibat kerana perlombongan bauksit, perlu merujuk kepada perjanjian mereka dengan pengusaha terlibat. 

“Jika perjanjian mengatakan pengusaha yang akan membayar cukai itu, maka ia boleh dirujuk kepada pengusaha yang memajak tanah peneroka. Ini boleh dibincangkan dengan peguam untuk pastikan siapa yang perlu menanggung cukai… dalam apa juga tindakan, kita mesti teliti perjanjian,” katanya. 

Nazri menjawab soalan Md Sohaimi Mohamed Shah (BN-Sungai Lembing) yang membangkitkan keresahan peneroka terlibat yang dikejar LHDN sedangkan sudah tidak lagi memperoleh hasil bauksit, kerana aktiviti tersebut telah dihentikan dengan arahan moratorium mulai 15 Januari 2016. 

Nazri juga memaklumkan aktiviti perlombongan bauksit sudah dibenarkan tertakluk pada syarat ketat termasuk bayaran deposit RM5 juta yang juga meliputi bayaran bon jaminan bagi memastikan masalah pencemaran yang membawa kepada pelaksanaan moratorium tidak berulang. 

“Kerajaan negeri telah menawarkan dua kontraktor untuk menjalankan aktiviti ini tetapi sehingga hari ini, kontraktor terlibat tidak membayar deposit. Jika mereka tidak membayar sehingga hujung bulan ini, maka kita akan menghentikan tawaran,” katanya. – Bernama, 19 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen