PENGARAH kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pada Rabu yang kemungkinan vaksin tidak tersedia pada masanya untuk menewaskan gelombang kedua pandemik Covid-19.
Michael Ryan daripada WHO berkata vaksin tidak boleh dilihat sebagai penyelesaian sepenuhnya dan negara yang memerangi kemunculan semula virus perlu berdepan dengannya tanpa vaksin.
“Saya rasa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan sebelum kita mempunyai tahap vaksinasi yang signifikan,” katanya, semasa sesi soal jawab awam secara langsung di media sosial.
Walaupun terdapat pengumuman baru-baru ini susulan ujian fasa akhir calon vaksin, “Kita belum ada vaksin,” kata Ryan.
“Banyak negara mengalami gelombang ini, dan mereka akan mengharunginya dan terus mengharungi gelombang ini, tanpa vaksin.
Pfizer berkata pada Rabu yang kajian lengkap mengenai ujian vaksin menunjukkan 95% berkesan, sementara firma dari AS, Moderna berkata minggu ini vaksinnya 94.5% berkesan. Rusia mendakwa vaksinya pula lebih 90% berkesan.
Ryan memberi peringatan agar tidak leka terhadap virus dengan percaya vaksin sekarang akan menyelesaikan segala masalah.
“Sebahagian orang berpendapat vaksin adalah penyelesaiannya: Ia bukan begitu,” katanya.
“Jika kita menerima vaksin dan melupakan perkara lain, Covid tidak akan menjadi sifar.”
Jumlah kes baharu Covid-19 di Eropah menurun minggu lalu untuk pertama kalinya sejak tiga bulan, tetapi kematian di rantau ini terus meningkat, menurut data WHO pada Rabu.
Walaupun sekurang-kurangnya 55.6 juta kes di seluruh dunia didaftarkan sejak wabak muncul di China pada Disember lalu, ia membunuh lebih 1.3 juta orang di seluruh dunia, menurut data daripada sumber rasmi yang dikumpulkan oleh AFP. – AFP, 19 November, 2020.
Komen