Jumlah kematian akibat Covid-19 di AS lepasi 250,000


Seorang wanita melintasi sekolah awam di Brooklyn, New York, AS, semalam. Datuk Bandar New York Bill de Blasio mengumumkan penutupan seluruh sistem sekolah awam di bandar itu, susulan lonjakan kes Covid-19. – Gambar EPA, 19 November, 2020.

LEBIH satu perempat juta orang maut akibat Covid-19 di Amerika Syarikat (AS), menurut data daripada Universiti Johns Hopkins pada Rabu, satu lagi perkembangan terbaharu yang suram bagi wabak tersebut.

AS, yang kini mencatatkan 250,029 kematian, memiliki jumlah kematian tertinggi, di depan Brazil dengan 166,699 kematian, India (130,993) dan Mexico (99,026).

Presiden Donald Trump secara konsisten mengambil ringan ancaman virus itu, jarang memakai topeng dan mengadakan rapat umum yang besar dan sesak ketika berkempen untuk pilihan raya pada 3 November lalu.

Penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan langkah lain tidak dituruti secara merata di beberapa bahagian AS walaupun terdapat peningkatan kes dan kematian baru-baru ini.

Negara ini secara rutinnya mencatat lebih 1,000 kematian dan 150,000 kes baharu setiap hari.

New York sekali lagi akan menutup sekolah awam minggu ini dan mengenakan beberapa sekatan semula di bar dan restoran.

Dua ujian vaksin baru-baru ini menunjukkan prestasi yang baik, memberikan harapan kepada AS dan dunia.

Koronavirus meragut lebih 1,343,000 nyawa sejak wabak itu muncul di China pada Disember lalu, menurut laporan daripada sumber rasmi yang dikumpul oleh AFP.

Joe Biden yang terpilih menjadi presiden meminta rakyat Amerika memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial sehingga vaksin tersedia secara meluas. – AFP, 19 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen