Katil untuk pesakit Covid-19 di Lembah Klang naik 14 kali ganda


Ragananthini Vethasalam

Kini terdapat 4,739 katil khusus untuk pesakit Covid-19 di Lembah Klang berbanding hanya 345 katil pada 1 Oktober. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2020.

HOSPITAL sekitar Lembah Klang kini mempunyai 4,739 buah katil khusus untuk pesakit Covid-19, meningkat 14 kali ganda berbanding 345 katil pada 1 Oktober lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, pertambahan itu dibuat bagi menampung lebih ramai pesakit susulan lonjakan kes Covid-19 yang berlaku di Lembah Klang.

“Pada peringkat awal fasa ketiga Covid-19, Kementerian Kesihatan hanya menggunakan Hospital Sungai Buloh dan Kuala Lumpur sebagai hospital Covid-19.

“Pusat Kawalan Kusta Negara juga diubah menjadi pusat kuarantin risiko rendah dan rawatan untuk pesakit kategori 1 dan 2 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Bagaimanapun, peningkatan jumlah pesakit Covid-19 menyebabkan peningkatan pengambilan katil,” tambahnya.

Hospital Rehabilitasi Cheras juga kini menjadi hospital hibrid Covid-19 dengan 230 katil dikhususkan untuk pesakit wabak itu.

Jumlah katil di Hospital Kuala Lumpur pula naik kepada 831 dan katil pesakit Covid-19 di Hospital Sungai Buluh naik kepada 630.

Selain hospital, katil pesakit Covid-19 juga ditempatkan di tiga lagi pusat rawatan termasuklah Pusat Kawalan Kusta Negara, Institut Latihan KKM di Sungai Buloh dan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.

KKM dan Majlis Keselamatan Negara juga menubuhkan Pusat Arahan Bersatu Covid-19 Wilayah Tengah untuk pengurusan kemudahan rawatan di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Pusat itu akan diterajui Pengarah Kesihatan Selangor Dr Sha’ari Ngadiman dan Dr Sarah Shaikh Abdul Karim yang merupakan pakar perubatan kecemasan Hospital Sungai Buloh dilantik sebagai timbalannya. 

Lembah Klang hari ini melaporkan 175 kes, dengan lebih 4,000 kes aktif yang dalam rawatan. – 18 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen