LEBIH baik “elak” pilihan raya pada masa sekarang bagi menghalang penularan jangkitan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini.
“Sejak mula lagi, Kementerian Kesihatan sangat bimbang tentang pilihan raya, sama ada pilihan raya kecil atau negeri atau pilihan raya umum.
“Jika boleh, elak pilihan raya. Itu adalah cadangan Kementerian Kesihatan sejak mula lagi,” katanya.
Tambahnya, selepas Pilihan Raya Negeri Sabah, beberapa isu baharu muncul termasuklah lonjakan kes.
Awal hari ini, Istana Negara dalam kenyataan mengumumkan yang Yang di-Pertuan Agong memperkenan perisytiharan darurat di Batu Sapi, Sabah sebagai langkah awal pencegahan menghalang penularan wabak Covid-19.
Perisytiharan itu seterusnya menangguhkan Pilihan Raya Kecil Batu Sapi yang dijadualkan pada 5 Disember depan.
Kenyataan Istana Negara menyebut, Al-Sultan Abdullah maklum berpuas hati bahawa proklamasi darurat perlu diadakan untuk membatalkan PRK bagi membendung dan mengelak penularan jangkitan Covid-19.
“Dengan pengisytiharan ini juga apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud penjalanan PRK bagi P.185 Batu Sapi tidak akan diteruskan..”
Satu tarikh lain seterusnya akan ditetapkan bagi PRK tersebut, menurut kenyataan itu yang menjelaskan, perisytiharan akan dibuat mengikut Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. – 18 November, 2020.
Komen