Tak perlu PKPD seluruh Selangor dan KL, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

Hanya PKPD bersasar seperti di Medan 88, Sepang dan kilang asrama pekerja Top Glove di Klang akan dibuat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2020.

PUTRAJAYA tidak merancang menguatkuasa perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) di seluruh Selangor dan Kuala Lumpur walaupun berlaku peningkatan kes Covid-19, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

“Tidak ada keperluan menguatkuasa PKPD di seluruh Selangor dan Kuala Lumpur. Kita melaksanakan PKPD bersasar seperti Medan 88 di Sepang atau asrama pekerja Top Glove di Klang.

“Selangor dan Kuala Lumpur sudahpun diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB),” katanya.

Minggu lepas, Medan 88, kawasan kediaman dan komersial di Salak Tinggi, Sepang dikenakan PKPD bermula 12 hingga 25 November.

PKPD itu melibatkan 88 buah lot kedai, 284 kediaman dan 800 orang penduduk.

Setakat 5 November lepas, 39 kes positif Covid-19 di kesan di kawasan itu.

Dua hari lepas pula, PKPD dikuatkuasa di asrama pekerja Top Glove di Klang sehingga 30 November.

PKPD itu melibatkan kawasan asrama pekerja lelaki dan Jalan Abadi 1A/KU8.

Turut terjejas adalah kawasan asrama pekerja wanita, Jalan Abadi 1A dan Jalan Abadi 10A/KU8. – 18 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen