MALAYSIA mencatatkan 660 kes baharu Covid-19 yang menunjukkan penurunan kepada tiga angka hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Ini adalah penurunan mendadak dari empat digit jangkitan harian yang dilaporkan sejak 13 November.
Bagaimanapun jumlah kes di Malaysia hari ini mencapai 50,390 kes.
Noor Hisham berkata keseluruhan kes hari ini, Sabah menyumbang lebih separuh dengan 387 kes baharu, 262 daripadanya adalah dari kluster sedia ada.
Lembah Klang pula melaporkan 173 kes iaitu penurunan sebanyak 66.6% daripada 518 kes semalam.
Noor Hisham juga berkata bahawa Sabah dan Perak masing-masing melaporkan dua kematian menjadikan jumlah keseluruhan Covid-19 seramai 322 orang.
Kes aktif sebaliknya berjumlah 12,814.
Sementara itu seramai 630 pesakit dibenarkan keluar hospital selepas pulih dari koronavirus dalam 24 jam terakhir.
Dengan ini jumlah pesakit pulih adalah berjumlah 37,254.
Seramai 103 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 41 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sementara itu 171 kes hari ini berkaitan dengan kluster penjara dan pusat tahanan manakala empat kes import.
Pihak berkuasa kesihatan juga mengenal pasti lapan kluster jangkitan baharu menjadikan kluster aktif sebanyak 167.
Negeri lain yang melaporkan kes baharu ialah Selangor (139), Negeri Sembilan (31), Perak (16), Pulau Pinang (16), Labuan (13), Kedah (11), Putrajaya (1) dan Melaka (4).
Sarawak, Johor dan Kelantan masing-masing melaporkan tiga kes. – 18 November, 2020.

Komen