MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) di Taman Meru 2C, Ipoh dan dua kawasan di Kota Belud, Sabah, selepas wujud lonjakan kes Covid-19 di sana.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata, ketiga-tiga kawasan itu akan dikenakan PKPD selama dua minggu bermula 20 November hingga 3 Disember.
“Dua zon iaitu Zon B dan Zon C di Taman Meru 2C akan dikenakan PKPD hingga 3 Disember. Begitu juga di Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon di Kota Belud.
“Semua aktiviti akan dihentikan dan tidak ada sesiapa dibenarkan meninggalkan atau memasuki kawasan itu tanpa kebenaran polis. Bekalan makanan akan disediakan kepada penduduk kawasan terjejas,” katanya.
Jelasnya, di Taman Meru 2C, sehingga 16 November lalu, 938 orang sudah disaring dan 76 daripada mereka disahkan positif Covid-19.
Di dua perkampungan di Kota Belud, Sabah, pula, 36 kes positif dilaporkan setakat tengah hari semalam.
“PKPD di Ipoh akan menjejaskan 2,288 penduduk daripada 572 rumah, sementara di Kota Belud, 1,740 orang akan terlibat,” katanya lagi.
Beberapa kawasan di Sabah sudah diletakkan di bawah PKPD sejak September lalu selepas berlaku lonjakan kes harian.
Peningkatan mendadak itu berlaku selepas Pilihan Raya Negeri Sabah yang menyaksikan perubahan kerajaan. – 18 November, 2020.
Komen