DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjual 97 tanah tanpa melalui prosedur yang betul sejak 2011, kata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
“Proses tersebut terlalu longgar, terdedah kepada penyalahgunaan kuasa dan kurang melindungi kepentingan DBKL serta warga Kuala Lumpur,” kata Pengerusi PAC Wong Kah Woh (Ipoh Timur-PH) dalam satu kenyataan hari ini.
PAC berkata DBKL memberi lebih 200 arahan pembangunan (DO) sebelum pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 dipersetujui oleh menteri.
“Ia menyebabkan kesan negatif kepada alam sekitar, penukaran kepada zon komersil dan penambahbaikan kepadatan termasuk plot ratio,” katanya.
Beliau berkata Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 juga berbeza dengan draf pelan yang dibentangkan kepada orang awam pada 2008.
“Draf pelan yang digazet belum pun mendapat maklum balas daripada semua pihak berkepentingan di Kuala Lumpur,” katanya.
Jawatankuasa itu membentangkan laporan penjualan tanah milik DBKL kepada Dewan Rakyat hari ini.
Penyelidikan penjualan tanah itu bermula pada April 2019 dan diselesaikan pada November tahun yang sama.
PAC berkata terdapat juga konflik kepentingan dalam pengurusan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) kerana Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur kedua-duanya memegang jawatan dalam organisasi tersebut.
“Konflik kepentingan timbul ketika YWP membeli tanah dari DBKL,” katanya.
PAC berkata ini ditambah dengan fakta bahawa YWP didaftarkan di bawah Akta Syarikat dan tidak dapat diaudit oleh Jabatan Audit Negara.
Tambah PAC, DBKL juga tidak mempunyai prosedur operasi standard untuk pelupusan harta yang dimilikinya.
“Hanya selepas 2015 DBKL menambah baik proses penjualan dan pelupusan tanah menerusi pemerkasaan Jawatankuasa Penswastaan melalui penyediaan senarai semak yang mempunyai prosedur yang lebih terperinci dan mendapat pengiktirafan ISO,” katanya.
Jawatankuasa itu mendesak Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mengkaji semula Rancangan Bandaraya KL 2020 kerana lebih 200 DO yang tidak termasuk dalam rancangan yang diserahkan.
Mereka juga mendesak kerajaan untuk mengkaji fungsi Kementerian Wilayah Persekutuan dan kesesuaian YWP dalam menguruskan harta yang dimiliki oleh Dewan Bandaraya. – 17 November, 2020.
Komen