KEMENTERIAN Kesihatan meningkatkan kapasiti katil hospital sebagai jangkaan peningkatan jangkitan Covid-19 di Lembah Klang.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian telah membuat persiapan terlebih dahulu setelah melihat trend peningkatan kes di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.
“Kita mula bimbang pada September tetapi kita harus mencapai keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi.
“Kita tidak dapat melaksanakan PKP (perintah kawalan pergerakan) kerana 40% ekonomi kita tertumpu di Selangor.
“Oleh itu kita harus melaksanakan PKPB (perintah kawalan pergerakan bersyarat) pada 14 Oktober,” katanya pada sidang media di Putrajaya.
PKPB yang kini dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijadualkan berakhir pada 6 Disember setelah dilanjut selama empat minggu.
Dr Noor Hisham menambah KKM juga akan mengubah dua lagi blok di institut latihannya menjadi pusat rawatan.
“Kemudahan itu dapat menampung sehingga 4,200 pesakit jika dua pesakit ditempatkan di dalam satu bilik,” katanya.
Malah katanya selain institusi dan pusat kusta di Hospital Sg Buloh, ada juga rancangan untuk menggunakan bangunan wad bersalin lama di Hopsital Kuala Lumpur sebagai pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah.
“Kami juga sedang melihat Hospital Rehabilitasi Cheras. Kita boleh menambah sehingga 230 katil di sana. Kita juga boleh menggunakan hospital tentera.
Dr Noor Hisham berkata kementerian akan memaksimumkan kapasiti di kemudahannya sebelum mempertimbangkan pilihan untuk membuka kembali hospital di Taman Pertanian Agro Malaysia (Maeps) di Serdang.
Beliau juga berkata bahawa pekerja asing merupakan penyumbang besar kes dalam kluster pembinaan.
Oleh itu Dr Noor Hisham menggalakkan majikan untuk melakukan pemeriksaan berkala untuk pekerja mereka sebagai langkah berjaga-jaga.
Kluster tapak pembinaan Damanlela di Kuala Lumpur menyumbang 385 kes hari ini.
Kluster itu dikesan setelah pesakit indeks, seorang pekerja migran ditahan oleh polis.
“Pekerja migran itu disaring setelah ditahan oleh polis dan disahkan positif,” katanya.
Pemeriksaan di tempat kerja pesakit membawa kepada pengesanan 1,131 kes yang lain. – 16 November, 2020.
Komen