LEMBAH Klang menyumbang kes baharu Covid-19 terbanyak dengan 544 kes daripada 1,103 yang dilaporkan hari ini.
Sabah pula melaporkan 288 kes dan empat kematian, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata kluster Tapak Bina Damanlela di Kuala Lumpur merekod kes tertinggi iaitu sebanyak 385 kes.
Daripada 544 kes yang dilaporkan di Lembah Klang, Kuala Lumpur merekod 392 kes, Selangor (151) dan Putrajaya (1).
Dengan 1,103 kes baharu yang dilaporkan hari ini, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia kini adalah 48,520 kes.
Manakala bagi kes import pula, hanya satu kes dilaporkan, tambah Dr Noor Hisham pada sidang media hari ini.
Katanya, penurunan kes di Sabah menunjukkan keberkesanan tindakan kawalan dan pencegahan penyakit yang dijalankan secara agresif sejak berlaku peningkatan kes di negeri berkenaan.
Sementara itu, 139 kes yang dilaporkan hari ini adalah berkaitan kluster-kluster di penjara.
Bagi kes pulih, seramai 821 pesakit dibenarkan discaj dalam tempoh 24 jam yang lalu, kata Dr Noor Hisham.
Sehingga kini, terdapat 102 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 39 kes memerlukan bantuan pernafasan, tambahnya. – 16 November, 2020.

Komen