SECARA luarannya, paras hutang yang ditanggung isi rumah rakyat Malaysia menurun dan Bank Negara Malaysia (BNM) serta pakar ekonomi menggambarkan keadaan itu sebagai berita baik.
Tetapi pemerhati lain berkata penurunan itu bukan kerana jumlah sebenar hutang sudah turun. Ia kerana pertumbuhan pendapatan isi rumah diatasi oleh pertumbuhan hutang mereka.
Dan keluarga dengan pendapatan bawah RM3,000, yang terdiri daripada hampir 40% isi rumah di dalam negara ini, masih bergelut untuk membayar hutang dan pada masa sama terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi.
Hutang isi rumah diukur sebagai peratusan keluaran dalam negara kasar (KDNK), di mana Bank Negara berkata ia sekarang pada 84.6% penghujung September lalu.
Pada 2015, hutang isi rumah kepada KDNK ialah 89.1%.
Nisbah hutang kepada KDNK adalah ukuran keseluruhan hutang isi rumah dalam negara dibahagikan dengan keluaran negara kasar nominal dikalikan dengan 100.
Pakar ekonomi bebas Azrul Azwar Ahmad Tajuddin berkata trend penurunan hutang isi rumah kepada KDNK mungkin disumbangkan oleh pertumbuhan nominal KDNK, yang melampaui hutang isi rumah.
Azrul Azwar berkata pada penghujung 2010, KDNK tumbuh 11.8% sementara hutang isi rumah berkembang 14.2%.
Pada penghujung 2015, pertumbuhan KDNK iaitu pada 4.6%, terus ketinggalan di belakang pertumbuhan hutang pada 7.3%.
Pertumbuhan KDNK hanya mula melebihi pertumbuhan hutang pada penghujung 2016 di mana ia 6.3% kepada 5.4%, katanya.
Menjelang September, pertumbuhan KDNK pada 9.9% sementara pertumbuhan hutang ialah 4.9%.
“Trend itu signifikan bagi tempoh sederhana ke panjang jika ia berterusan ketika ia memberi isyarat yang pengguna membayar hutang atau mereka semakin kurang berhutang.”
Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen berkata jumlah keseluruhan hutang isu rumah iaitu hampir RM1 trilion masih tidak turun.
“Keadaan perlahan itu ada kaitan dengan pasaran perumahan, maka tidak ada pinjaman baharu,” katanya merujuk kepada fakta yang hampir semua hutang itu daripada pinjaman pembelian hartanah dan kereta.
“Bagi peratusan kepada KDNK, paras hutang jatuh itu diselubungi oleh pertumbuhan dalam KDNK,” kata Wong yang juga bertanggungjawab merangka bajet alternatif pembangkang 2018.
Ancaman sistemik
Laporan suku ketiga BNM bagi 2017 mendapati isi rumah dengan pendapatan bawah RM3,000 di kawasan bandar masih sukar membayar pinjaman kerana tekanan kos sara hidup.
Tetapi secara keseluruhan, kemampuan isi rumah membayar semula hutang mereka mencukupi dalam keadaan pasaran burut yang sihat seperti kenaikan gaji, kata Azrul Azwar.
Tetapi di sebalik penurunan itu, hutang isi rumah Malaysia kepada KDNK masih tinggi dan lebih tinggi berbanding purata nisbah 63% dalam ekonomi lanjutan dan purata 21% ekonomi berkembang, katanya.
“Banyak lagi perlu dilakukan untuk mengehadkan sebarang risiko kepada sistem kewangan dan ekonomi,” katanya.
Ini termasuk lebih banyak dasar untuk menggalakkan pembayaran semula, taksiran terhadap permohonan pinjaman, lebih banyak amalan pinjaman berhemah dan harga rumah yang tinggi.
Wong berkata Putrajaya perlu mengakui punca sebenar hutang yang tinggi, iaitu gaji rendah, kereta dan rumah yang mahal.
“Bagi meningkatkan pendapatan boleh guna bagi purata rakyat Malaysia, kerajaan boleh memansuhkan duti eksais terhadap kereta dan lebih mengawal industri perumahan untuk menyingkirkan spekulasi.”
Dalam laporannya, BNM berkata paras tinggi itu meletakkan sedikit ancaman sistemik terhadap ekonomi kerana majoriti isi rumah mempunyai nisbah khidmat hutang berhemah di bawah 60% sementara bahagian pinjaman penghutang terdedah ialah 20.6% bagi hutang isi rumah.
Esther Lai daripada Ram Rating Services Bhd berkata langkah berjaga-jaga oleh kerajaan dan keadaan pasaran buruh yang meningkat dapat memastikan kemampuan isi rumah membayar semula hutang mereka tidak akan menjadi lebih buruk. – 20 Disember, 2017.
Komen
Lagi.nak kutip adalah..namun.mak mansuh..jgn harap..
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan