Saya tidak akan tunduk pada pihak amal 'cash is king', kata Shafie


Chan Kok Leong

Bekas Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkata situasi Covid-19 di Sabah akan terkawal jika Perikatan Nasional tidak berusaha merebut negeri itu secara paksa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 16 November, 2020.

BEKAS Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa beliau perlu membubarkan DUN kerana tidak akan tunduk kepada pihak yang mengamalkan konsep “cash is king”.

“Situasi Covid-19 Sabah akan terkawal sekiranya Perikatan Nasional tidak berusaha merebut negeri itu secara paksa,” kata ahli Parlimen Semporna itu.

Menurutnya beliau juga terkejut dengan cadangan Najib Razak bahawa beliau rela mati kerana Covid-19.

“Saya bukan sanggup mati kerana Covid-19, saya nyatakan nak menyerahkan kuasa bukan kepada pihak yang bergantung kepada ‘cash is king’ kerana ‘purchasing power’.

“Nak serah kuasa baik saya mati dalam gelanggang politik. Bukan mati kerana covid, mati di gelanggang politik.

“Setelah rakyat memutuskan siapa yang berkuasa, kita harus menerimanya,” katanya. 

Shafie menjawab soalan Mohamad Alamin (Kimanis-BN) yang bertanya apakah dia kesal kerana mencadangkan pembubaran Dun bagi mengadakan PRN Sabah pada September lalu.

Mohamad, seorang ahli Parlimen yang baru dipilih berulang kali mengajukan soalan yang sama kepada ahli Parlimen Warisan kerana PN menegaskan bahawa mereka tidak boleh dipersalahkan apabila PRN Sabah membawa peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

PN berusaha mengambil alih Sabah pada Julai setelah memujuk lebih dari belasan Adun untuk lompat parti.

Tetapi Gabenor Sabah Juhar Mahiruddin bersetuju dengan permintaan Shafie untuk membubarkan DUN sehingga PRN diadakan pada September.

Sejak itu pilihan raya disalahkan kerana lonjakan kes Covid-19 yang bermula di pusat tahanan pendatang asing tanpa izin di Tawau.

Pada pilihan raya berikutnya Warisan dan sekutunya gagal memenangi kembali negeri itu kerana hanya memenangi 29 kerusi berbanding 38 PN dan Barisan Nasional. – 16 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen