SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional Annuar Musa hari ini menggesa semua parti politik untuk membentuk gabungan besar bagi menyelamatkan negara.
Gesaan itu dibuat sehari selepas Dr Mahathir Mohamad berkata terdapat keperluan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan yang merentas garis politik ketika rakyat semakin jera dan bosan dengan politik dan ahli politik di tengah wabak yang menjejaskan kehidupan mereka.
Annuar menerusi Facebook berkata parti seperti Parti Warisan Sabah, Pejuang, Muda dan parti bebas lain seperti Berjasa, Barisan Progresif India (IPF) Makkal Sakti, PCM (Parti Cinta Malaysia) juga boleh menjadi sebahagian daripada gabungan itu.
Beliau yang juga ahli Parlimen Ketereh berkata gabungan itu tidak hanya terhad kepada parti berasaskan Melayu sahaja tetapi termasuk juga 10 parti yang mempunyai hala tuju yang sama.
“Yang penting kita tinggalkan politik yang berlegar sekeliling personaliti dan kita semarakkan politik penyatuan ummah yang mendahulukan kestabilan,ketahanan nasional dan kepentingan rakyat.
“Beberapa parti yang bebas atau menolak PH boleh dibawa bersama. Antaranya Warisan, Muda, Pejuang, Berjasa, IPF, Makkal Sakti dan PCM,” katanya.
PAS dan Umno menandatangani memorandum untuk bersama dalam Muafakat Nasional (MN) pada 2018. Bersatu turut memohon untuk sertai MN namun ia masih belum didaftarkan sebagai sebuah gabungan politik. – 16 November, 2020.
Komen