SEORANG bekas pegawai syarikat telekomunikasi direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan sindiket penipuan sistem pesanan ringkas (SMS), susulan penahanan reman 12 individu yang disyaki terlibat dalam kes yang sama.
Setakat ini, seramai 13 individu telah ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Perintah reman sehingga 19 November itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya di Putrajaya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut hari ini.
Menurut sumber SPRM, suspek berumur 45 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 10.30 malam semalam (Ahad) selepas hadir memberikan keterangan.
Menurut sumber itu, individu tersebut dipercayai telah memberi dan menerima wang rasuah untuk tujuan mendapatkan maklumat data peribadi pelanggan yang menggunakan pelan prabayar.
Nombor telefon yang diperoleh didakwa akan digunakan oleh sindiket penipuan penyedia kandungan dengan mengenakan bayaran langganan menerusi khidmat SMS tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pengguna, katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – Bernama, 16 November, 2020.
Komen