DANA RM3 bilion yang akan digunakan untuk pembelian vaksin wabak Covid-19 termasuk dalam perbelanjaan khas kumpulan wang Covid-19, kata Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Khairy berkata, anggaran RM3 bilion itu dibuat berdasarkan spektrum harga dari negara pengeluar, sementara kerajaan belum dapat menyediakan anggarannya yang tepat.
“RM3 bilion itu anggaran berdasarkan spektrum harga yang ditawarkan kepada negara-negara, jadi kita tak dapat beri anggaran tepat masa ini.
“Saya minta anggaran RM3 bilion disediakan menteri kewangan dan menteri akan menjawab ia dimasukkan dalam kumpulan wang Covid-19, satu pembelanjaan khas,” kata Khairy.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan ketika sesi soal jawab lisan di Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Chan Foong Hin (Kota Kinabalu-Pakatan Harapan) meminta penjelasan berhubung status dana berkenaan yang tidak dinyatakan dalam Belanjawan 2021.
Ahli Parlimen Rembau itu juga berkata, butiran lanjut berkenaan dana itu akan diperincikan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dalam sesi penggulungan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, akan datang.
“Perkara itu akan dijelaskan dalam penggulungan jawapan menteri kewangan,” katanya lagi.
Khairy berkata, berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sehingga 13 November, terdapat kira-kira 11 calon vaksin yang sedang menjalani ujian klinikal fasa tiga.
Jelas beliau, kerajaan sudah menghubungi 10 daripada pengeluar vaksin itu.
“Kerajaan berkomunikasi dengan 10 pengeluar vaksin tersebut, lapan dihubungi secara terus, dua lagi melalui fasiliti covax.
“Terdapat beberapa rundingan fasa akhir, pengumuman rasmi dibuat bila dimeterai tidak lama lagi,” katanya.
Rundingan itu katanya antara lain meliputi kerjasama dipelbagai peringkat, termasuk pembangunan vaksin, pertukaran saintis, dan juga pembelian vaksin sebagai jaminan akses bekalan vaksin.
Belanjawan 2021 yang dibentang oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz pada 6 November dikritik kerana dikatakan tidak benar-benar untuk melawan Covid-19.
Blok pembangkang serta Barisan Nasional (BN) meminta beberapa pindaan dan penambahbaikan sebelum sedia menyokong cadangan belanjawan itu. – 16 November, 2020.
Komen