Venezuela beli 10 juta vaksin Covid-19 dari Rusia


Pemaju vaksin Sputnik V dari Rusia melaporkan dua keputusan ujian awal menunjukkan kadar keberkesanan yang mencecah 92%. – Gambar EPA, 16 November, 2020.

PRESIDEN Venezuela Nicolas Maduro pada Ahad berkata kerajaannya sudah bersetuju untuk membeli 10 juta dos vaksin Sputnik V keluaran Rusia untuk melawan Covid-19.

Vaksin itu akan mula tiba pada suku pertama 2021, kata Maduro pada sebuah majlis di Caracas yang disiarkan televisyen kerajaan, menambah yang “Venezuela akan mengeluarkan vaksin Rusia di makmal Venezuela.”

Ogos lalu, Rusia menjadi negara pertama mendaftarkan vaksin melawan Covid-19 yang dinamakan Sputnik V sempena satelit angkasa pertama negara itu pada 1957.

Bagaimanapun, pengumuman itu tidak disambut baik masyarakat antarabangsa.

Pemaju vaksin itu melaporkan dua keputusan ujian awal menunjukkan kadar keberkesanan yang mencecah 92%, dua hari selepas gergasi farmasi, Pfizer dan BioNTech dari Jerman berkata fasa ketiga ujian vaksin mereka ia berkesan lebih 90%, mewujudkan harapan perang melawan pandemik itu akan berakhir di peringkat global.

Pada awal Oktober lalu, Venezuela mula terlibat dalam ujian klinikal Sputnik V dengan 2,000 sukarelawan- antaranya anak lelaki Maduro, Nicolas Maduro Guerra.

Sejak pandemik mula meledak di Venezuela pada Mac, kerajaan melaporkan 93,933 kes positif dengan 848 kematian.

Tetapi, pembangkang dan badan bukan kerajaan mempersoalkan data rasmi itu, mendakwa ia disebabkan tiada laporan dan kes sebenarnya jauh lebih banyak. – AFP, 16 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen