Boris Johnson jalani kuarantin


PM Britain Boris Johnson yang pada April sah positif Covid-19 dan pulih kini menjalani kuarantin kendiri selepas menjadi kontak rapat pesakit Covid-19. – Gambar AFP, 16 November, 2020.

PERDANA Menteri Britain Boris Johnson menjalani kuarantin kendiri selepas menjadi kontak rapat pesakit Covid-19, umum jurucakap pada Ahad.

“Beliau akan terus bekerja dari Downing Street, termasuklah menerajui tindak balas kerajaan terhadap pandemik koronavirus,” kata jurucakap Downing Street itu lagi.

Johnson pada April lepas dimasukkan ke hospital kerana Covid-19. Tetapi, kali ini,
“PM sihat dan tidak ada sebarang gejala”, tambah jurucakap itu lagi.

Perdana menteri dimaklumkan yang beliau patut menjalani kuarantin kendiri selepas dijejak skim Uji dan Jejak negara itu.

Pengumuman itu dibuat selepas Johnson berjumpa sekumpulan kecil wakil rakyat di Downing Street pada Khamis, termasuk seorang yang akhirnya bergejala Covid-19 dan kemudiannya disahkan positif.

Johnson, 56, sebelum ini positif Covid-19 dan dirawat dalam ICU selama tiga hari pada April lepas.

Pemimpin Britain itu berkata situasinya bertambah buruk kerana masalah berat badan yang dihadapinya, tetapi mengakui sekarang sudah hilang 12 kg.

“Saya akan teruskan diet, kerana anda perlu terus cari hero dalam diri sendiri, harap-harapnya dia lebih kurus,” katanya bergurau bulan lepas.

Britain adalah negara Eropah paling teruk terjejas kerana pandemik itu, melaporkan lebih 50,000 korban dengan 1.2 juta kes positif. – AFP, 16 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen