3 kluster baharu di Sabah, Johor, kata KP Kesihatan


Sehingga tengah hari ini, 1,170 individu disaring, dengan 26 kes dikesan positif Covid-19 termasuk tiga kes baharu manakala 609 individu masih menunggu keputusan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) hari ini mengesan tiga lagi kluster baharu Covid-19 melibatkan dua di Sabah dan satu di Johor, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata di Sabah, Kluster Plaza di Kota Kinabalu yang membabitkan kes (ke-42,299) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 11 Nov dan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, Institut Kemahiran MARA, Kota Kinabalu.

Beliau berkata hasil saringan kontak rapat telah mengesan 11 lagi kes positif Covid-19.

“Sehingga pukul 12 tengah hari ini, 19 individu disaring, dengan 12 kes dikesan positif Covid-19 termasuk 11 kes baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Kluster kedua di Sabah iaitu Kluster Jalan Kalabakan dikesan di Tawau melibatkan kes indeks (ke-31,309) yang dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 31 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Tawau.

Beliau berkata saringan kontak rapat telah mengesan 21 lagi kes positif Covid-19.

Sehingga 12 tengah hari ini, 22 individu disaring, dengan kesemua 22 kes dikesan positif Covid-19  termasuk tiga kes baharu, katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata di Johor, Kluster Jeri dikesan di Kota Tinggi, Mersing, dan Muar membabitkan kes indeks yang dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA), Singapura pada 6 November.

Beliau berkata saringan kontak rapat di Malaysia telah mengesan 26 kes positif Covid-19 dan kes-kes itu dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor.

Sehingga tengah hari ini, beliau berkata 1,170 individu disaring, dengan 26 kes dikesan positif Covid-19 termasuk tiga kes baharu manakala 609 individu masih menunggu keputusan. – Bernama, 15 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen