Keluar i-Lestari dulu, baru boleh keluar Akaun 1, lapor media


Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidon berkata pencarum (yang layak) perlu menghabiskan Akaun 2 di bawah jumlah maksimum i-Lestari terlebih dahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2020.

PENGELUARAN Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya dibenarkan bagi pencarum yang sudah habis mengeluarkan had maksimum dari Akaun 2 di bawah inisiatif i-Lestari, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidon.

Katanya, status pengeluaran Akaun 2 itu adalah antara beberapa syarat yang dikenakan kepada pencarum yang layak untuk mengeluarkan simpanan dalam Akaun 1, yang dinamakan insiatif i-Sinar.

Kemudahan i-Lestari diperkenalkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan pada hujung Mac lalu, yang membenarkan pengeluaran RM500 sebulan dari Akaun 2 untuk tempoh 12 bulan.

“Dalam Belanjawan 2021 pula, kerajaan benarkan pengeluaran Akaun 1 oleh pencarum KWSP dengan beberapa syarat, antaranya ia disasarkan kepada golongan yang terjejas.

“Selain itu, pencarum (yang layak) perlu menghabiskan Akaun 2 di bawah jumlah maksimum i-Lestari terlebih dahulu, baru boleh dikeluarkan Akaun 1,” katanya, seperti dipetik oleh BH.

Asri berkata demikian dalam program Selamat Pagi Malaysia di TV1, hari ini, lapor BH.

Semasa membentangkan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1  khusus bagi mereka yang kehilangan kerja, sebanyak RM500 sebulan bagi tempoh 12 bulan.

Jumlah RM6,000 itu akan menjadi tambahan kepada RM6,000 yang dibenarkan sebelum ini melalui skim i-Lestari, katanya.

Semalam, Tengku Zafrul dipetik berkata kerajaan sedang berbincangan dengan KWSP untuk memperluaskan jumlah pencarum yang layak untuk mengeluarkan simpanan dari Akaun 1.

KWSP semalam memaklumkan perincian kemudahan akses kepada Akaun 1, yang dikenali sebagai skim i-Sinar, akan diumumkan pada Rabu ini.

Permohonan itu dijadual dibuka pada Disember 2020 dan jumlah pengeluaran yang dilulus akan dimasukkan ke akaun bank pencarum pada Januari 2021. – 15 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen