Hospital Covid-19 Romania terbakar, 10 maut


Sepuluh pesakit Covid-19 terbunuh dan tujuh lagi cedera parah termasuk seorang doktor apabila ICU sebuah hospital di Romania terbakar. – Gambar AFP, 15 November, 2020.

SEPULUH orang pesakit Covid-19 terbunuh dan tujuh lagi cedera parah selepas kebakaran tercetus di unit rawatan rapi sebuah hospital di Romania pada Ahad, kata seorang jurucakap.

Kebakaran berlaku pada awal pagi di sebuah hospital bandar Piatra Neamt. Ia hanya berjaya dikawal sejam kemudian oleh pasukan bomba.

“Sepuluh orang maut dan tujuh orang lagi dalam keadaan kritikal,” termasuk seorang doktor, kata jurucakap wanita Irina Popa.

Lapan orang mangsa maut dalam kebakaran dan dua lagi diisytiharkan meninggalkan dunia selepas dikeluarkan daripada kawasan kebakaran.

Doktor yang sedang bertugas dan cuba membantu mangsa melecur 80% badannya, kata pihak penyelamat.

Punca kebakaran masih tidak dapat dipastikan dan pihak pendakwaan sudah membuka siasatan rasmi tragedi itu. Kementerian Kesihatan mengesyaki ia berpunca daripada litar pintas.

Pusat kawalan krisis sudah ditubuhkan dan Menteri Kesihatan Nelu Tataru dijangka melawat kawasan kejadian.

Romania terlepas daripada gelombang pertama Covid-19 yang mengganas di seluruh Eropah, tetapi sejak beberapa minggu lepas mula melaporkan lonjakan kes.

Pada Sabtu, 129 kematian Covid-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kematian kepada 8,813 orang sejak wabak mula meledak di negara itu.

Negara dengan 19 juta penduduk itu adalah salah satu negara termiskin Kesatuan Eropah dan sistem kesihatannya tidak bersedia dengan lonjakan kes Covid-19.

Sistem daifnya berdepan masalah kekurangan doktor terutama di bandar kecil.

Tragedi itu adalah yang terburuk di Romania sejak Oktober 2015, apabila kebakaran berlaku di sebuah kelab malam membunuh 64 orang. – AFP, 15 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen