Negara rugi tidak gembleng potensi wanita, kata Dr Mahathir


Noor Azam Shairi Kamles Kumar

Wanita tidak perlu dibandingkan sama rata dengan lelaki kerana antara kedua-duanya ada perbezaan namun ada juga kelebihannya, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2020.

TIDAK menggunakan potensi wanita, yang sama pintar dan cekap berbanding lelaki, dalam pengurusan dan pentadbiran hanya akan merugikan negara, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Kalau kita tidak gunakan wanita, kita akan hilang separuh daripada penduduk negara. Mereka separuh daripada jumlah penduduk.

“Mereka ada kekuatan daripada segi kelayakan dan sebagainya.

“Kalau kita biarkan begitu saja, kita hilang potensi yang besar. Kita mesti gunakan potensi yang ada pada wanita,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight minggu ini.

Wanita kini 49% daripada keseluruhan 32.7 juta penduduk, berdasarkan data mutakhir yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia minggu ini.

Menurut Dr Mahathir, kemampuan wanita melakukan kerja yang juga dilakukan oleh lelaki adalah hakikat yang harus diakui.

“Kita kena terima lelaki dan wanita dijadikan berbeza tetapi kita kena akui kemampuan kerja mereka, bukan kerja yang melibatkan fizikal barangkali tetapi kerja yang juga dibuat lelaki,” katanya.

Jelas Dr Mahathir, wanita tidak perlu dibandingkan sama rata dengan lelaki kerana antara kedua-duanya ada perbezaan namun ada juga kelebihannya.

“Tidak diragukan bahawa kemampuan wanita sama seperti lelaki. Sudah tentu ada beberapa hal yang lelaki boleh buat, yang wanita tidak boleh.

“Kita tidak perlu betul-betul setara, tetapi mereka mempunyai kemampuan yang lebih cemerlang dalam berfikir dan merancang,” katanya.

Menurut Dr Mahathir Mohamad, kemampuan wanita melakukan kerja yang juga dilakukan oleh lelaki adalah hakikat yang harus diakui. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 November, 2020

Dr Mahathir memberikan contoh jumlah pelajar wanita yang lebih ramai berbanding lelaki di universiti sebagai gambaran kemampuan intelektual mereka yang berpotensi sebagai aset negara.

“Kalau kita ke universiti, 60 hingga 70 peratus pelajarnya adalah wanita.

“Saya tidak tahu apa yang lelaki buat, mungkinlah mereka tidak pandai kerana itu mereka tidak masuk universiti,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian ramai wanita kini memegang jawatan utama termasuk menteri dan ketua setiausaha di kementerian.

Selama jadi perdana menteri, Dr Mahathir, 95, memberi ruang yang wajar kepada wanita dalam politik dan jawatan utama.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Rafidah Aziz berkhidmat lebih kurang 16 tahun dalam kabinet Dr Mahathir, selain mengetuai sayap Wanita Umno semasa bekas perdana menteri menerajui parti itu.

Apabila Dr Mahathir kembali jadi perdana menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan pada Mei 2018, beliau melantik Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya, menjadikan bekas presiden PKR itu wanita pertama memegang jawatan tersebut dalam sejarah negara.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Rafidah Aziz berkhidmat lebih kurang 16 tahun dalam kabinet Dr Mahathir, selain mengetuai sayap Wanita Umno semasa bekas perdana menteri menerajui parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2020.

Pentadbiran kedua Dr Mahathir juga mencatat sejarah apabila melantik wanita memegang jawatan tinggi dalam badan kehakiman. 

Rohana Yusof dilantik Presiden Mahkamah Rayuan pada Disember 2019, hampir lapan bulan selepas Tengku Maimon Tuan Mat dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.

Tiga hakim wanita dari Mahkamah Rayuan – Zaleha Yusof, Zabariah Mohd Yusof, dan Hasnah Mohammed Hashim – juga dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, menjadikan enam wanita kesemuanya daripada 10 hakim di mahkamah tertinggi itu.

Dr Mahathir sebelum ini pernah berkata tidak mustahil suatu hari nanti wanita jadi perdana menteri jika mendapat sokongan parti mereka dan rakyat.

Katanya, ia tidak mustahil kerana tiada sekatan untuknya dalam Perlembagaan Persekutuan. – 15 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen