DUA daerah di Sabah kini menjadi zon hijau apabila negeri itu semakin pulih dengan penurunan jumlah kes baharu, menurut data diumumkan Kementerian Kesihatan.
Data disiarkan Twitter itu menunjukkan Tenom dan Nabawan kini hijau tanpa sebarang jangkitan namun 10 daerah masih lagi dalam zon merah.
Menurut angka terbabit, jangkitan paling tinggi hari ini dicatat di Kota Kinabalu dengan 122 kes, menjadikan keseluruhan 1,994 kes aktif di daerah itu.
Sembilan zon merah lain pula mencatat kenaikan antara tiga hingga 63 kes baharu.
Beaufort pula menyertai enam daerah lain dalam zon kuning yang mempunyai kurang dari 21 kes dan tidak mencatat sebarang kes baharu hari ini.
Hanya tiga zon kuning mencatat kenaikan kes di Pitas, Beluran yang masing-masing mencatat satu kes dan di Sipitang dengan empat kes baharu.
Dua zon jingga yang mempunyai kurang dari 41 kes juga tidak mencatat sebarang kenaikan kes baharu.
Ia memberi jumlah 391 kes baharu hari ini di Sabah, lebih rendah berbanding kenaikan 556 kes baharu semalam, dan memberi jumlah 7,664 kes aktif di negeri itu.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah turut mengumumkan dua lagi kematian, menjadikan jumlah 306 maut akibat Covid-19 dalam negara.
Kenaikan paling besar hari ini dicatat di Negeri Sembilan dengan 371 kes dengan majoriti di Seremban dengan 367 pesakit baharu.
Selain itu, 200 pesakit baharu di Selangor turut menyumbang kepada jumlah 1,114 kes baharu hari ini. – 14 November, 2020.
Komen